Terkini Dan Sensasi

Koleksi Berita Semasa Dan Info Menarik

Wira Merah mahu gempur Kangar


"JIKA ada peluang, jangan persia- siakan peluang yang ada."

Itu peringatan jurulatih Kelantan, B. Sathianathan yang menuntut anak-anak buahnya memburu gol ketika menentang Perlis pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Utama Negeri, Kangar malam ini.

Sathianathan berkata, kelebihan dua gol yang dibawa skuad Wira Merah adalah tidak mustahil mampu 'dimusnahkan' oleh Perlis yang pastinya bersemangat beraksi di hadapan penyokong sendiri.

"Kita sudah ada dua gol dan Perlis memerlukan tiga gol untuk menang. Sekiranya kita berjaya mencari gol tambahan, sudah tentu ia suatu yang sukar bagi Perlis," katanya.

"Kita kena cari gol awal kerana ia sangat- sangat penting dalam keadaan kita beraksi di tempat lawan dan saya percaya semua pemain tahu apa yang saya inginkan.

Tambah Sathianathan, beliau yakin dengan pemain-pemain yang ada dan persaingan yang wujud dalam pasukan juga adalah sesuatu yang sihat kerana pemain mahu merebut posisi yang ada.

"Ada orang cakap, untuk menang pemain kena bagi lebih, mungkin 150 peratus tetapi pada saya jika mereka bagi saya seratus peratus, itu sudah memadai," ujarnya.

"Dalam bola sepak, anda perlu fokus. Tidak kira berapa banyak kelebihan gol yang ada, jika kamu lalai pasti kamu akan tewas.

Dalam pada itu, Sathianathan menamakan Zul Yusri Haron sebagai pemain yang akan menggantikan ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin yang tidak dapat beraksi kerana menjalani penggantungan satu perlawanan.

"Indra mungkin seorang pemain yang bagus dan kamu pasti kecewa jika dia tidak beraksi. Namun, bola sepak adalah kerja berpasukan.

"Kamu tidak boleh terlalu bergantung kepadanya kerana situasi ini pasti menyukarkan jika ia berlaku dan dia (Indra) juga bagus sebab rakan-rakan lain," jelasnya.

Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, Selasa lalu, Kelantan mencatatkan kemenangan 2-0 hasil jaringan Indra dan Rizal Fahmi Rosid.

-KOSMO

Gred baru ke IPTA tahun depan

PUTRAJAYA - Persaingan untuk merebut tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan menjadi lebih sengit menerusi pengenalan kaedah pengiraan merit di bawah sistem penggredan baru.

Perubahan itu dilakukan bagi memilih hanya kumpulan pelajar terbaik untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata, perubahan itu selaras dengan sistem penggredan baru Kementerian Pelajaran yang memperkenalkan peringkat kelulusan A+ untuk pelajar SPM 2009 berbanding gred 1A sebelum ini.

"Sistem ini diperkenalkan untuk memilih yang terbaik di kalangan terbaik dengan membezakan pencapaian antara A+ dengan A atau A-,'' katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Di bawah sistem baru itu, pencapaian A akan dikategorikan kepada A+, A dan A- dengan merit masing-masing 18, 16 dan 14.

-KOSMO

Rahsia dara, teruna selebriti

ANGELINA JOLIE

DUTA Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Angelina kini dilihat sebagai ibu contoh kerana membesarkan enam orang anak.

Namun, usia mudanya agak liar dan beliau mengaku hilang daranya ketika masih remaja, ketika baru berusia 14 tahun. Beliau tak pernah mengikut peraturan dan hubungan seksualnya turut boleh dianggap ganas kerana teman lelaki dan juga dirinya luka sebelum melakukannya.

"Saya baru berusia 14 tahun ketika melakukan seks pertama kali dengan teman lelaki pertama. Pada masa itu, saya yang ingin berasa intim dengannya melukakan tubuh teman lelaki saya itu dengan pisau.

"Beliau membalas kembali dan saya turut dilukai sebelum kami melakukan seks pada masa itu," katanya


ASHTON KUTCHER

HUBUNGAN seks pertama Ashton hanya berakhir dua saat. Suami Demi Moore ini melakukannya buat pertama kali ketika berusia 15 tahun dengan seorang remaja seusianya di dalam hutan.

Ashton turut mengaku terlalu teruja dengan pengalaman pertamanya itu.

"Pasangan saya diperkenalkan rakan-rakan dan saya berasa terlalu malu apabila ia berakhir dengan begitu pantas, mungkin hanya kira-kira dua saat sahaja.

"Bagaimanapun, dua tahun kemudian saya menebusnya apabila kami melakukan seks buat kali kedua. Saya buktikan insiden pertama itu tidak sepatutnya berlaku dan prestasi saya pada masa itu jauh lebih baik," katanya.



SIENNA MILLER

AKTRES siri televisyen The Factory Girl ini dikaitkan dengan puluhan lelaki kacak, termasuk Jude Law, Balthazar Getty dan Rhys Ifans. Pastinya beliau berpeleseran dengan actor-aktor di merata tempat di seluruh dunia.

Namun, seks pertamanya dilakukan dengan teman lelaki pertama dan lebih pelik, di dalam bilik tidurnya sendiri ketika berusia 16 tahun.

"Ibu memastikan saya membawanya pulang. Beliau tidak mahu saya melakukannya di tempat lain dan menegaskan lebih rela saya hilang dara di dalam rumah sendiri," kata Sienna.



DANIEL RADCLIFFE

DANIEL mungkin bercinta dengan gadis-gadis remaja di dalam filem-filemnya, termasuk siri filem Harry Potter. Namun, di dunia sebenar, Daniel, 16, hilang terunanya kepada seorang wanita yang lebih tua daripadanya.

Khabar angin bertiup kencang mendakwa wanita itu adalah pendandan rambut dalam set penggambaran Harry Potter.

Daniel turut mengaku meskipun perbezaan usia tidak begitu ketara tapi masih ada peminat yang mungkin tidak dapat menerimanya.



BROOKE SHIELDS

AKTRES jelita, Brooke Shields mendakwa beliau tidak berminat dan mengelak untuk melakukan seks hinggalah usianya mencecah lebih 20-an tahun kerana beliau bencikan wajahnya.

Kini, aktres berusia 43 tahun itu mengaku amat menyesal kerana tidak belajar untuk menyukai wajahnya ketika beliau masih muda.

"Saya percaya jika saya lebih sukakan wajah ini, pasti saya sudah hilang dara lebih awal daripada 22 tahun. Saya tak pernah kisahkan mengenai berat badan saya, daripada dulu hingga sekarang saya memiliki kelebihan kira-kira lima kilogram.

"Hakikatnya, saya berasa begitu tertekan akibat menjadi tumpuan umum. Hanya pada usia yang lebih matang, saya Berjaya menangani tekanan itu," katanya.

Brooke mungkin sentiasa digoda tapi sekurang-kurangnya beliau hanya melakukan apabila sudah berasa bersedia.



RUSSELL BRAND

AKTOR Russell Brand didakwa meniduri pelbagai wanita cantik dan seksi seperti Kate Moss, Abi Titmuss, Kate Lawler dan Kimberly Stewart.

Namun, pengalaman pertamanya ditaja oleh bapanya di sebuah rumah pelacuran ketika mereka bercuti di Hong Kong.

"Kami pulang dengan tiga pelacur. Bapa mengambil dua daripadanya. Namun, yang ketiga ditinggalkan dengan saya.

"Pelacur itu pasti sedar saya masih teruna akibat daripada keadaan saya yang begitu kelam kabut," katanya.



THE JONAS BROTHERS

KUMPULAN pemuzik remaja, The Jonas Brothers mungkin boleh dijadikan contoh selepas Kevin, Joe dan Nick bertekad tidak akan melakukan seks sebelum mereka berkahwin.

Ketiga-tiga adik beradik ini memakai cincin suci sebagai tanda sumpah mereka untuk tidak mencemarkan diri mereka dengan perlakuan sumbang sebelum berkahwin.

Tidak hairanlah jika juruacara, Lothario Russell Brand menganggap sumpah mereka itu pelik dan menyentuh mengenainya di Anugerah Muzik Video tahun lalu.

"Mereka boleh melakukannya dengan siapa sahaja tapi memilih untuk tidak melakukannya. Mereka umpama Superman yang boleh terbang tapi memilih untuk menaiki bas ke setiap destinasi tujuannya," katanya.



KELLY OSBOURNE

Kelly pertama kali melakukan seks pada usia 13 tahun.

Tidak berapa lama selepas itu beliau berasa dirinya hamil.

"Saya begitu yakin sudah hamil. Hakikatnya saya masih belum datang haid lagi pada masa itu," katanya.

Agak pelik kerana tahun lalu Kelly dinamakan sebagai duta Hari Kawalan Kehamilan Dunia.



ORLANDO BLOOM

ELF paling seksi Britain ini tidak pernah lekang daripada perhatian wanita.

Secara kebetulan, ibu Orlando menguruskan sebuah sekolah bahasa menyebabkan beliau sentiasa dikelilingi remaja cantik dari Eropah.

Beliau bercium pertama kali pada usia 12 tahun tapi pengalaman itu amat buruk kerana tergigit pasangannya.

"Pada usia 14, saya bertemu dengan remaja yang istimewa dan saya hilang teruna dengannya. Selepas itu minat saya dengan wanita meningkat," katanya.

Mantera cinta tak jadi

KUALA LUMPUR: Hajat di hati mahukan gadis pujaan yang menghilangkan diri pulang semula ke pangkuan, namun seorang kerani akhirnya termasuk jerat penipuan seorang ‘pawang cinta’ yang mengarahkannya membayar lebih RM2,000 hanya untuk mempelajari jampi mantera dan ayat pengasih.

Lelaki itu mendakwa, dia diarah menghafal pelbagai jampi mantera aneh yang menyimpang daripada ajaran Islam serta berunsur khurafat oleh pawang wanita berusia 50-an terbabit yang turut didakwa terkenal di kalangan artis dan golongan kenamaan.

Dia akhirnya tidak mempunyai pilihan kecuali membuat laporan di ibu pejabat Polis Daerah Sentul di sini, berikutan diugut bomoh terbabit dan pembantunya kerana mempertikaikan kaedah perubatan yang menyeleweng selain mendakwa ia langsung tidak memberi kesan.

Mangsa mendakwa, jampi mantera yang ‘ditauliahkan’ kepadanya gagal mencairkan hati teman wanitanya yang beralih arah kepada lelaki lain.

Lelaki berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan, 30, berkata dia menjadi mangsa tipu muslihat bomoh terbabit yang beroperasi di Jalan Chow Kit di sini, selepas diberitahu rakannya yang pernah mendengar ‘kehebatan’ bomoh berkenaan.

Menurutnya, dia sebelum ini menghadapi masalah cinta dengan teman wanitanya yang tiba-tiba ingin memutuskan hubungan tanpa alasan kukuh selepas sekian lama terjalin.

“Teman wanita, ‘L’ yang tinggal di Pulau Pinang seolah-olah membenci, namun saya tidak mudah putus asa lalu bertanya punca kemarahannya,” katanya.

Menurutnya, kerana sayang dan tidak mahu kehilangan buah hati, dia mengambil keputusan berjumpa pawang wanita terbabit yang kerap dikaitkan dengan personaliti terkenal dan artis tanah air.

“Pada pertemuan pertama dengan wanita berkenaan yang mesra dipanggil ‘ibu’, saya menceritakan masalah dihadapi sambil dia mengangguk-angguk bagaikan mengerti gelodak jiwa yang saya alami.

“Selepas beberapa minit menyatakan hajat, ‘ibu’ akhirnya mendakwa boleh menyelesaikan kemelut itu dengan syarat saya datang sekali lagi dan membawa sekeping gambar kekasih bersama kain dan pisau lipat,” katanya.

Menurutnya, dia menemui semula bomoh berkenaan beberapa hari kemudian dengan membawa bersama barangan diminta selain wang pengeras RM175 seperti diarahkan warga emas terbabit.

“Sebaik menyerahkan semua barangan itu, saya diarah menjalani upacara mandi bunga sebelum ‘ibu’ membaca mantera untuk menaikkan seri wajah selain mengembalikan semangat yang hilang sebelum ini.

“Proses ‘berubat’ itu berlanjutan beberapa hari kemudian apabila saya diminta datang bertemu pawang terbabit untuk menerima ‘anugerah’ ayat-ayat jampi dan mantera yang perlu dihafal dan diamalkan,” katanya.

Menurutnya, dalam pertemuan kali kedua itu dia disyaratkan menyerahkan RM300 sebelum diarah menyalin jampi mantera didakwa ayat pengasih di atas sehelai kertas disediakan sambil dia membacakan mantera berkenaan.

“Saya diarah menghafal mantera yang dipercayai mengandungi bahasa kuno selain perkataan berunsur tahyul. Malah, jampi mentera berkenaan seolah-olah seperti memuja jin dan makhluk ghaib lebih daripada mempercayai kuasa Allah.

“Walaupun sangsi, saya mengamalkan mantera berkenaan kerana termakan pujukan ‘ibu’ yang mendakwa ramai individu yang menghadapi masalah sama kini hidup bahagia,” katanya.

Menurutnya, dia berulang kali bertemu bomoh terbabit dalam tempoh dua bulan lalu dan menghabiskan lebih RM2,000 untuk diberikan kepada wanita berkenaan seperti disyaratkan.

“Ibu pernah berjanji teman wanita saya akan melutut dan tunduk kepada saya selewat-lewatnya sebelum Aidilfitri lalu. Namun, selepas sekian lama mengamalkan apa yang disarankan ternyata ia satu pembohongan apabila L sebaliknya makin menjauhi saya.

“Saya cuba mempersoalkan keberkesanan ilmu ‘ibu’ dan pembantunya, namun kedua-dua mereka bagaikan tidak mahu melayan pertanyaan saya.

Menurutnya, tindakannya itu bagaimanapun mencetus kemarahan ‘ibu’ yang akhirnya mengugut akan melakukan sesuatu jika dia terus mengganggu aktivitinya.

“Malah, pembantu lelaki bomoh berkenaan turut mengeluarkan kata-kata berbentuk ugutan termasuk menghantar ‘benda’ dipercayai sihir jika saya masih enggan menutup mulut.

“Tindakan berbentuk ancaman itu menyebabkan saya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan saya terancam.

“Kejadian ini satu pengajaran berguna dan seharusnya dijadikan peringatan kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dan percaya perkara tahyul melebihi kuasa Allah,” katanya.

-METRO

Pakar penggoda no.1 dedah rahsia pikat wanita

LONDON - Seorang lelaki Britain, Adam Lyons yang memenangi anugerah pakar penggoda no. 1 dunia pada persidangan kenalan dunia di Hollywood, California telah meniduri lebih 500 wanita cantik termasuk selebriti dan supermodel, lapor sebuah akhbar semalam.

Lyons yang merupakan bekas ejen hartanah kini menyara kehidupan dengan memberikan tunjuk ajar cara untuk memikat wanita.

Menurutnya, dia mula mengurat semasa berumur dalam lingkungan 20-an dengan cuba meminta nombor telefon wanita yang berjalan di Leicester Square, di Britain pada waktu makan tengah hari.

"Saya kemudian mempelajari lebih lanjut cara untuk mengurat wanita dan saya melakukan teknik sama di kelab-kelab malam pada malam minggu.

"Saya berjaya tidur dengan wanita-wanita cantik yang pada zaman persekolahan saya hanya mampu bermimpi untuk mendapatkannya," kata Lyons.

Dia mendedahkan sebahagian cara kejayaannya iaitu berani mendekati wanita cantik dan berbual dengannya.

Lyons berkata, perbualan pertama perlu membuatkan wanita yakin pada diri lelaki dengan bertanya seperti: "Adakah anda tahu lokasi terdekat Starbuck kerana saya mempunyai rakan yang datang untuk menemui saya di sana."

Pendekatan seterusnya, kata Lyons, lelaki perlu bijak membuatkan wanita ketawa dengan memujinya kerana ia akan menyebabkannya berbual dengan lebih mesra.

Dia berkata, bagi mendapatkan nombor telefon, kaum lelaki perlu memberikan alasan yang kukuh seperti mencari topik perbualan yang menarik hatinya seperti makanan.

"Jika wanita itu ialah keturunan Mexico, saya akan bertanya sama ada dia pernah makan di sebuah restoran baru Mexico?," katanya.

Menurutnya, alasan itu boleh digunakan untuk meminta nombor telefon bagi membolehkan wanita itu mendapat maklumat lanjut berhubung restoran tersebut.

Semasa makan bersama di restoran, kaum lelaki perlu membayar sebahagian bil dan meminta wanita yang baru dikenali itu membayar baki harga makanan lain, katanya.

Lyons berkata, pendekatan mencium wanita semasa menonton filem akan membuatkannya bersetuju untuk tidur bersama. - Agensi

-KOSMO

Dua sahabat ke tali gantung

KUANTAN - Dua sahabat dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 70.25 gram empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh, Ahmad Zuhaidi Ali, 29, dari Balok Makmur, di sini dan Azmiezal Ismail, 28, dari Kampung Baru Jalan Santong, Paka, Terengganu didakwa secara bersama melakukan perbuatan itu semasa sekatan jalan raya di Kilometer (KM) 46, Jalan Kuantan-Kemaman kira-kira pukul 1.15 petang, 6 Julai 2005.

Ahmad Zuhaidi yang telah berkahwin, bekerja sebagai juruteknik 'firewatch' dengan sebuah syarikat petroleum manakala Asmiezal, seorang pekerja kontrak dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Asmiezal yang masih bujang pula turut dipenjara 24 bulan bermula dari tarikh dia ditangkap kerana memiliki 0.70 methamphitamine di bawah Seksyen 12(2) akta sama.

Dalam penghakimannya, Hakim Mariana menyatakan peguam bela kedua-dua tertuduh gagal mewujudkan suatu keraguan dalam kes berkenaan.

-KOSMO

Doa Seorang Sahabat

Sebuah kapal karam diterjang badai hebat. Hanya dua lelaki yang dapat menyelamatkan diri dan berenang ke pulau kecil yang gersang. Dua orang yang selamat itu tak tahu apa yang harus dilakukan kecuali berdoa. Untuk mengetahui doa siapakah yang paling dikabulkan, mereka sepakat pergi ke daerah berasingan dan mereka tinggal berjauhan.

Doa pertama, mereka memohon diturunkan makanan. Esok harinya, lelaki pertama melihat sebuah pohon penuh buah-buahan tumbuh di sisi tempat tinggalnya. Sedangkan di daerah tempat tinggal lelaki yang lainnya tetap kosong.

Seminggu kemudian. Lelaki pertama merasa kesepian dan memutuskan berdoa agar diberikan isteri, keesokan harinya, ada kapal karam dan satu-satunya penumpang yang selamat adalah seorang wanita yang terdampar di sisi pulau tepat lelaki pertama tinggal. Sedangkan di sisi tempat tinggal lelaki ke dua tetap saja tidak ada apa-apa.

Segera saja, lelaki pertama ini berdoa memohon rumah, pakaian dan makanan. Keesokan harinya, seperti keajaiban, semua yang diminta hadir untuknya. Sedangkan lelaki yang kedua tetap saja tidak mendapatkan apa-apa.

Akhirnya, lelaki pertama ini berdoa meminta kapal agar ia dan isterinya dapat meninggalkan pulau itu.

Pagi siang hari mereka menemui kapal tertambat di sisi pantainya. Segera saja lelaki pertama dan isterinya naik ke atas kapal dan siap-siap berlayar meninggalkan pulau itu. Ia pun memutuskan meninggalkan lelaki kedua yang tinggal di sisi lain pulau. Menurutnya lelaki kedua itu tidak pantas menerima keajaiban tersebut kerana doa-doanya tak pernah terkabulkan.

Apabila kapal siap berangkat, lelaki pertama mendengar suara dari langit, "Hai. Mengapa engkau meninggalkan rakanmu yang ada di sisi lain pulau ini?"

"Berkatku hanyalah milikku sendiri, hanya kerana doakulah yang dikabulkan," jawab lelaki pertama.

"Doa temanku itu tak satupun dikabulkan. Maka ia tak pantas mendapatkan apa-apa,"

"Kau salah!" suara itu bertempik.

"Tahukah kau bahwa rakanmu itu hanya memiliki satu doa. Dan semua doanya terkabulkan. Bila tidak, maka kau takkan mendapatkan apa-apa."

Lelaki pertama bertanya, "Doa macam apa yang dia panjatkan sehingga aku harus berhutang atas semua ini padanya?"

"Dia berdoa agar semua doamu dikabulkan"

Moral :
Kesombongan macam apakah yang membuat kita merasa lebih baik dari yang lain? Banyak orang yang telah mengorbankan segalanya demi kebahagiaan kita. Tak selayaknya kita mengabaikan peranan orang lain, dan janganlah menilai sesuatu hanya dari "yang terlihat"

Lemas depan masjid


PUTRAJAYA: Adegan ‘pelukan ghairah’ pasangan muda di depan Masjid Putra di sini, semakin menjijikkan sehingga pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan lebih 180 surat hadir untuk soal siasat dalam tempoh sebulan terhadap pasangan kekasih kemaruk seks yang melakukan perbuatan tidak senonoh di lokasi terbabit.

Lokasi hangat yang hanya kira-kira 200 meter dari masjid berkenaan yang dikenali sebagai ‘dataran romantik’ itu semakin meriah dengan kegiatan berpelukan dan bercium secara terbuka pasangan kekasih terutama selepas solat Maghrib, setiap hari.

Bukan itu saja, adegan memberahikan sehingga terlupa azan Maghrib dan Isyak dilaungkan itu seolah-olah mengasyikkan pasangan terbabit untuk terus memainkan peranan bagi memuaskan nafsu masing-masing di depan khalayak, termasuk kanak-kanak yang mengunjungi kawasan itu.

Malah, bagi pasangan kekasih yang sudah ‘khayal’, mereka tidak segan silu beralih angin bagi meneruskan adegan seks sama ada di dalam kereta atau bergerak ke flet yang disewa pasangan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Kegiatan tidak bermoral dan menjijikkan itu didedahkan sumber Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kepada Harian Metro, yang mengakui kegiatan itu dilakukan pasangan kekasih berusia antara 19 hingga 28 tahun dan tidak kurang enam surat hadir dikeluarkan pada pasangan terbabit setiap hari.

Menurutnya, kegiatan pasangan kemaruk seks itu boleh dilihat hampir setiap hari apabila mereka menjadikan kawasan sekitar masjid berkenaan sebagai lokasi untuk melakukan kegiatan tidak senonoh secara terbuka.

“Pasangan ini datang dengan menaiki kereta mewah seperti Mercedez Benz dan Honda sebelum berpura-pura menjadi pelancong dengan melakukan aktiviti ringan, termasuk mengambil gambar pasangan masing-masing.

“Mereka akan mencari lokasi ‘panas’ sebelum duduk berdua-duaan dan perlahan-lahan memulakan adegan ringan diikuti berpelukan dan bercium dengan penuh ghairah secara terbuka,” katanya, semalam.

Sumber itu berkata, kegiatan maksiat secara terbuka di depan masjid itu berlarutan sejak beberapa bulan lalu, malah walaupun dipantau setiap hari, pasangan kemaruk seks tetap menjadikan dataran itu sebagai lokasi pemanas badan.

Beliau berkata, kebanyakan pasangan terbabit dipercayai bertugas dengan syarikat swasta dan kakitangan kerajaan berhampiran dan memberikan pelbagai alasan apabila didekati penguat kuasa.

“Kami terpaksa menggertak mereka dengan surat hadir kepada pejabat bagi mendapatkan penjelasan mengenai maksiat yang dilakukan secara terbuka dan memberikan tempoh dua hari untuk hadir di pejabat untuk diambil keterangan.

“Apa yang pasti, sama ada pasangan berkelakuan tidak senonoh ini ditarbiah atau didakwa di mahkamah syariah bergantung kepada penjelasan yang mereka berikan.

“Bagaimanapun, bagi pasangan yang ingkar dengan surat hadir itu, pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan selain mengeluarkan waran tangkap,” katanya.

Selain itu, katanya, ada antara pasangan yang diberikan surat hadir itu seolah-olah tidak mengetahui mereka melakukan maksiat di depan masjid.

“Apa yang menyedihkan, ada pasangan yang tidak menyedari mereka berkelakuan tidak senonoh berhampiran masjid kerana dipercayai asyik dan khayal dengan pasangan masing-masing.

“Perbuatan tidak bermoral ini sepatutnya tidak berlaku di kawasan berhampiran masjid yang menjadi tumpuan umat Islam menunaikan solat,” katanya.

Bukan itu saja, katanya, ada pasangan yang terus melakukan pelukan dan bercium walaupun berhampiran mereka ada kanak-kanak yang mengunjungi tempat itu bersama ibu bapa mereka.

Sumber itu berkata, beliau hairan mengapa kawasan itu terus menjadi lokasi maksiat pasangan kekasih walaupun pemantauan pihak berkuasa dilakukan hampir setiap hari.

“Kami percaya, pasangan terbabit beranggapan mereka bebas berpelukan dan bercium berhampiran masjid kerana yakin pihak berkuasa akan terperangkap dengan anggapan lokasi berkenaan lazimnya bebas daripada kegiatan tidak senonoh.

“Berdasarkan, anggapan itu, pasangan terbabit tidak segan silu melakukan perbuatan tidak senonoh kerana yakin tidak ada pihak berkuasa yang memantau mereka,” katanya.

Bagaimanapun, sumber berkata, berdasarkan kepada peningkatan pasangan yang melakukan maksiat itu, pemantauan pihak berkuasa dipertingkatkan bagi menahan pasangan terbabit sebelum mereka melakukan perbuatan yang lebih buruk.

-METRO

Cuci the Musical cetus fenomena baru

APABILA Hans Isaac mengumumkan filem sulung arahannya, Cuci akan diangkat ke pentas teater, penulis berfikiran sedikit skeptikal.

Pelbagai persoalan mula berlegar di minda dan penulis mula bertanya sendiri adakah Hans mampu menjadikan Cuci sebagai sebuah teater muzikal yang hebat.

Bukan mahu memperkecilkan kredibiliti dan usaha Hans untuk merealisasikan impiannya, tetapi sedikit sebanyak keraguan itu wujud untuk melihat sejauh manakah Cuci mampu bertukar menjadi sebuah pementasan yang dibanggakan.

Apatah lagi, kejayaan teater muzikal seperti Puteri Gunung Ledang the Musical, P.Ramlee the Musical dan Impak Maksima the Musical telah meletakkan satu tanda aras yang cukup tinggi dalam penerbitan teater muzikal di negara ini.

Sudah pasti kejayaan dua teater muzikal ini sedikit sebanyak akan dijadikan perbandingan untuk Cuci the Musical (CTM) sementelah hampir kesemua tulang belakang pementasan ini pernah terlibat dengan dua teater muzikal mega itu.

Lantas apabila diundang untuk menonton CTM di Panggung Sari, Istana Budaya malam Jumaat lalu, penulis pergi dengan minda dan fikiran yang kosong biarpun ada teman yang mengatakan CTM cukup menghiburkan.

Sebaik sahaja tirai dibuka, kemunculan empat aktor iaitu Afdlin Shauki, AC Mizal, Awie dan Hans sendiri sudah cukup untuk menimbulkan suasana gamat di dalam Panggung Sari.

Ternyata impak dan penangan watak Fairil (Afdlin), C'Tan (AC), Jojo (Awie) dan Khai (Hans) sememangnya cukup besar.

Tidak keterlaluan dikatakan watak-watak ini mampu menjadi watak ikonik seperti mana yang pernah dicipta oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi watak Bujang Lapok.

Jika dilihat secara kasar, CTM sebenarnya sebuah naskhah yang cukup santai dan ringan tetapi di sebalik itu, ia berjaya meninggalkan satu kesan abadi kepada penonton.

Masakan tidak, hampir setiap masa seluruh Panggung Sari digegarkan dengan tepukan gemuruh dan hilai tawa penonton yang tidak henti-henti.

Bukan sekadar skrip dan dialognya yang melucukan dan bersahaja, tetapi pembangunan setiap karakter juga berupaya membuatkan penonton terhibur dan ketawa.

segar dan tidak slapstik

Skripnya yang lucu itu juga segar dan tidak slapstik sehingga perlu memaksa penonton ketawa melihat aksi pemainnya.

AC Mizal dan Awie misalnya, berjaya membawa watak masing-masing dengan cemerlang dan menampakkan sisi lain mereka sebagai seorang aktor.

Mungkin khalayak sudah biasa melihat AC dalam membawakan watak komedi tetapi untuk menonton persembahan Awie di pentas teater buat pertama kali menari serta menyanyi, adalah sesuatu yang cukup menarik.

Watak Jojo yang dilakonkannya cukup menawan hati penonton dan Awie kelihatan sungguh comel di atas pentas sekali gus menghapuskan imej lelaki sasa yang cukup sinonim dengan dirinya.

Lebih-lebih lagi, babak romantik dan percintaan di antara Jojo dan Farah (lakonan Adibah Noor) berjaya mencipta keserasian.

Malah, tidak mustahil jika selepas ini Awie dan Adibah digandingkan dalam mana-mana filem atau drama kerana mereka sememangnya memiliki ikatan yang cukup kuat untuk bergandingan.

Hans sendiri apa kurangnya. Pertama kali menonjolkan bakat nyanyiannya kepada khalayak adalah sesuatu percubaan yang boleh dibanggakan.

Usah sesekali membandingkan Hans dengan tiga aktor yang mempunyai latar belakang dalam bidang nyanyian kerana karakter vokal Hans adalah tersendiri.

Selain mereka, Ramli Hassan dan Harith Iskander yang membawakan watak Tan Sri dan Wira juga memiliki kelebihan masing-masing.

Ramli seperti mana yang diketahui, merupakan seorang yang cukup sinonim di pentas teater lantas menjadikan dia kelihatan begitu gah dalam pementasan ini dengan lontaran vokalnya.

Harith juga kelihatan begitu semula jadi dalam membawakan watak antagonis yang bisa membuatkan audiens berasa meluat dan terhibur dalam masa yang sama dengan gelagatnya.

Sebagai salah seorang pengarah bersama serta individu yang menjaga elemen humor dalam pementasan ini, Harith memang berjaya membuat penonton ketawa.

Entah mengapa, penulis merasakan kesemua pelakon di dalam teater muzikal ini berlakon seolah-olah tidak perlu menghafal skrip dan mencipta dialog mereka sendiri.

Tidak cukup dengan itu, kelebihan CTM juga terletak kepada intipati cerita yang menceritakan tentang semangat setiakawan dan persaudaraan selain penerapan elemen 1Malaysia.

Dalam erti kata lain, CTM adalah pementasan yang disifatkan begitu dekat dengan penonton negara ini yang mampu mengaitkan dengan keadaan serta situasi yang dialami mereka.

Seperkara lagi yang membuatkan penulis bangga dengan CTM adalah rekaan setnya yang ringkas dan minimum serta tidak perlu berlebih-lebihan untuk melengkapkan lagi jalan cerita CTM.

Itu belum ditambah dengan penggunaan kren yang rasanya pertama kali diperkenalkan dalam mana-mana pementasan teater muzikal di negara ini.

Semuanya semata-mata untuk menggambarkan babak malu tapi mahu antara Khai dan CJ saat meluahkan perasaan yang terpendam di dalam hati mereka.

Tidak lengkap sebuah pementasan teater muzikal tanpa iringan muzik dan CTM juga mempamerkan kecemerlangan dari sudut muziknya yang dihasilkan oleh Pacai dan Douglas Lim.

Di sebalik kesempurnaan dan kecemerlangan itu, CTM tidak terlepas daripada cacat-cela dan kelemahan yang dilihat sedikit merencatkan momentum audiens untuk terus menonton teater muzikal ini.

Kelemahan ini dapat dilihat dengan ketara pada set yang kedua di mana perjalanan ceritanya dilihat agak meleretleret sehinggakan ada beberapa babak dirasakan tidak perlu untuk dimasukkan.

Akibatnya, durasi teater ini telah menjangkau tiga jam yang pastinya agak lama untuk sebuah pementasan teater muzikal kontemporari seperti CTM.

Selain itu, ada beberapa ketika barisan ensemble juga dilihat tidak selari dan pergerakan mereka kurang kemas selain beberapa tarian yang dilihat tidak relevan dengan jalan cerita.

memperbaiki kelemahan

Sebagai penerbit, Hans menerima segala kritikan dengan terbuka untuk memperbaiki kelemahan memandangkan ini kali pertama syarikatnya, Tall Order Productions Sdn. Bhd., menerbitkan teater muzikal.

"Saya percaya masih ada ruang meningkatkan lagi prestasi dan mutu pementasan teater ini antaranya untuk memendekkan dan memotong adegan yang dirasakan tidak perlu.

"Memang ada respons yang saya terima mengatakan CTM agak panjang durasinya tetapi saya rasa bangga dan terharu apabila majoriti menyatakan kepuasan menonton teater ini.

"Malah, ada juga penonton dan peminat yang datang menonton tiga kali serta datang sejauh dari Singapura.

"Semua ini sudah cukup membuatkan saya gembira dan percaturan saya ini nampaknya membuahkan hasil," katanya penuh teruja sewaktu menghubungi Hits beberapa hari lalu.

Tambahnya, dia percaya kekuatan barisan pelakon dan skrip menjadi tunjang utama kepada kejayaan CTM.

"Kalau penonton datang menonton persembahan kami dan berasa terhibur, ia adalah satu penghargaan buat kami sebagai karyawan CTM.

"Apatah lagi untuk melihat penonton memberikan sanjungan berdiri (standing ovation) selepas persembahan membuatkan kami terharu dan rasa dihargai," ujarnya yang mengakui cabaran menghasilkan CTM bukanlah semudah yang disangka.

Kata Hans lagi, perancangan selama setahun untuk merealisasikan CTM dilihat banyak membantu kelancaran perjalanan teater muzikal ini.

"Saya menjadikan Cuci versi filem sebagai panduan untuk memantapkan lagi CTM dari segi jalan ceritanya.

"Kami juga banyak mengadakan bengkel lakonan dan skrip untuk memastikan CTM sebuah pementasan yang menghiburkan," jelasnya penuh bangga.

Dengan kejayaan CTM ini adakah bermakna CTM akan dipentaskan di Singapura selain kembali untuk musim kedua seperti mana teater muzikal tempatan yang lain?

Tidak menafikan perkara itu, jelas Hans, pihaknya sedang berbincang dengan pihak di Singapura untuk mementaskan CTM di Esplanade Theatre.

"Saya juga ada rancangan untuk membawa CTM merantau ke beberapa buah negara di Asia Tenggara seperti Brunei dan Indonesia.

"Tetapi, semuanya bergantung kepada sokongan penonton tempatan terhadap CTM," katanya sambil menggesa masyarakat Malaysia untuk mendapatkan tiket dengan kadar segera memandangkan bilangan tiket buat masa ini semakin terhad.

-UTUSAN MALAYSIA

DAN perkenal 18 langkah baru

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Semakan semula Dasar Automotif Nasional (DAN) memperkenalkan 18 langkah baru yang meliputi pelesenan, duti, insentif, teknologi, standard dan keselamatan serta permit import (AP), berkuatkusa pada 1 Januari 2010.

Antara polisi yang menjadi tumpuan ialah syarikat asing akan diberi lesen pengeluaran (ML) untuk memegang ekuiti 100 peratus dalam syarikat yang mengeluarkan kenderaan mewah dengan kapasiti enjin lebih 1,800 cc dan berharga lebih RM150,000 manakala sistem Permit Import (AP) terbuka akan dihapuskan pada 2015.

AP francais yang melibatkan kenderaan baru akan dimansuhkan pada 31 Disember 2020.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mustapa Mohamed berkata, pengenalan polisi baru itu, bertujuan meningkatkan daya saing industri automotif dengan objektif menjadikan Malaysia sebagai hab automotif di rantau ini.

''Antara langkah dalam merealisasikan objektif tersebut dengan menggalakkan pembuat kereta nasional utama negara, Proton Holdings Bhd. (Proton) mencari rakan strategik dengan pengeluar kelengkapan asal (OEM) global.

''Pada masa ini Proton masih belum mempunyai rakan strategik dan sedang berbincang dengan mereka yang berminat,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai pengumuman semakan semula DAN, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri MITI, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Jacob Dungau Sagan.

Tambah Mustapa, dalam usaha kerajaan mempromosi segmen berimpak tinggi, pembekuan ML akan ditarik balik bagi segmen automotif terpilih bagi membantu memberi kesan kepada ekonomi negara.

''Liberalisasi ini penting dalam menghasilkan keuntungan lebih tinggi. Oleh itu, kerajaan akan menarik balik pembekuan lesen bagi segmen kereta mewah dengan enjin berkapasiti 1,800 cc dan ke atas dengan harga di atas jalan tidak kurang RM150,000.

''Selain itu, ia juga melibatkan segmen kenderaan hibrid dan elektrik, kenderaan jenis pikap, kenderaan perdagangan dan motosikal enjin berkapasiti 200cc dan ke atas,'' jelasnya.

"Pengeluaran ML ini juga tidak akan dikenakan syarat ekuiti bagi syarikat pembuat kenderaan asing atau tempatan.

''Ini bermakna mereka boleh memiliki 100 peratus kepentingan, mereka juga boleh menggunakan kemudahan sedia ada atau membina kilang baru di sini.

''Dasar semasa berhubung pemasangan kenderaan secara kontrak dikekalkan bagi menggalakkan penggunaan lebihan kapasiti serta pembekuan lesen bagi aktiviti bina semula kenderaan perdagangan dikekalkan,'' katanya.

Sementara itu, bagi cukai dan duti dikecualikan untuk menggalakkan eksport untuk produk bernilai tambah tinggi terutama bagi produk yang dieksport dalam usaha menggalakkan peningkatan kualiti.

Mustapa berkata, ini termasuk pengecualian cukai sebanyak 30 peratus berbanding 10 peratus bagi produk eksport dengan 30 peratus komponen tempatan, manakala penggunaan 50 peratus komponen tempatan bakal menerima pengecualian cukai sehingga 50 peratus berbanding 15 peratus sebelumnya.

Bagi memenuhi komitmen kerajaan terhadap Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), Malaysia komited untuk mengurangkan dan menghapuskan duti import semasa secara berperingkat.

Katanya, kadar duti import dan eksais bagi kenderaan pasang siap sepenuhnya (CBU) dan kenderaan terurai sepenuhnya (CKD) akan dikekalkan serta pewartaan harga bagi CBU import terpakai.

Kerajaan juga akan memperkenalkan mekanisme untuk menghalang komponen dan alat ganti terpakai bermula Jun 2011.

Pada masa ini, alat ganti dan komponen baru serta terpakai boleh diimport tanpa sebarang sekatan dan dalam beberapa kes menyebabkan masalah keselamatan dan pencemaran alam sekitar.

Kerajaan juga akan memansuhkan secara berperingkat pengimportan kenderaan terpakai berkuatkuasa 1 Januari 2016 selaras dengan pemansuhan secara berperingkat pengimportan alat ganti dan komponen terpakai dan pemansuhan sistem AP bagi kenderaan terpakai.

Mustapa berkata, bagi menyokong usaha meningkatkan daya saing pengeluar komponen dan alat ganti dana Pembangunan Automotif (ADF) dan Dana Penyelarasan Industri (IAF) akan diteruskan.

Selain itu, kerajaan turut menekankan usaha meningkatkan standard keselamatan termasuk pembangunan sepenuhnya kelulusan kenderaan (VTA) serta pengenalan dan penguatkuasaan mandatori secara berperingkat ke atas komponen dan alat ganti.

-UTUSAN MALAYSIA

Pas cuba jadikan UMNO ‘kambing hitam’

GENTING HIGHLANDS 28 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas Pas kerana cuba menjadikan UMNO dan idea kerajaan perpaduan sebagai ‘kambing hitam’ dalam konflik dalaman membabitkan pimpinan tertinggi mereka.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, berdasarkan perkembangan semasa sebenarnya berlaku pertembungan kepentingan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Sebab itu sekarang mereka nak bersilat dalam gelanggang, tepis sana tepis sini supaya mereka dapat atasi masalah mereka.

“Dia cari ‘kambing hitam’, ‘kambing hitam’ ini UMNOlah, sedangkan kita berniat baik dan ikhlas,’’ katanya.

Beliau mengulas kemelut dalam Pas yang tercetus apabila Nik Abdul Aziz mencadangkan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menyingkirkan pemimpin parti itu yang dikategorikan prokerajaan perpaduan.

Mereka ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Mengulas mengenai kerajaan perpaduan, Muhyiddin berkata, alasan yang digunakan Abdul Hadi semalam bahawa perkara itu hanya relevan sewaktu Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri adalah suatu dalih.

Tegasnya, Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri telah membuat kenyataan bahawa UMNO sentiasa terbuka terhadap idea itu.

“Datuk Seri Najib dan saya telah buat kenyataan terbuka, bahasa pun dalam bahasa Melayu yang agak asli, mudah difahami dan bukannya bercakap Arab.

“Tetapi kalau mereka kata tak mahu, tidak mengapalah, setidak-tidaknya kita menunjukkan hasrat yang baik dan jelas,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin menyerahkan kepada masyarakat Islam untuk menilai tindakan Pas yang menolak perpaduan ummah itu.

“Bagi saya perpaduan adalah baik, sesuai dan boleh kita teruskan tapi kalau pihak Pas kata tak payah, okey, kita tiada masalah.

“Kita hendak beritahu kepada masyarakat Islam bahawa UMNO adalah parti yang mendokong prinsip perpaduan ummah,” katanya.

-UTUSAN MALAYSIA

Rumah bayi al-Quran mahu dibakar

MOSCOW - Sekumpulan penduduk Islam mengancam mahu membakar rumah ibu bapa bayi yang kulitnya tertera ayat al-Quran, Ali Yakubov di Kizlyar, Dagestan, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Bayi itu yang berumur sembilan bulan dilahirkan oleh ibunya, Madina manakala bapanya bertugas sebagai seorang pegawai polis.

"Mereka (sekumpulan penduduk Islam itu) mendakwa tidak munasabah Allah menunjukkan tanda-tanda kebesarannya melalui seorang budak lelaki yang dilahirkan oleh keluarga pegawai polis," kata datuk bayi itu, Magomed-Kadyr.

"Mereka menganggap kami (pegawai polis yang bekerja untuk pemerintah Rusia) sebagai orang kafir," tambahnya.

Menurutnya, sebuah kereta membawa kumpulan bersenjata itu tiba di rumah mereka pada waktu siang.

Anggota-anggotanya kemudian menuntut mereka menunjukkan bayi berkenaan sebelum beredar tetapi mereka mengancam untuk datang lagi.

Selepas insiden itu, seorang penguasa tempatan menyediakan enam pengawal keselamatan untuk mengawal keluarga berkenaan.

Ibu bayi itu menyatakan bahawa ayat suci al-Quran itu hilang pada kulit Ali apabila kumpulan bersenjata itu tiba tetapi muncul semula selepas mereka beredar.

Dagestan yang terletak di selatan Rusia dan bersempadan dengan Chechnya bergolak akibat pertempuran berterusan di antara kumpulan-kumpulan Islam dan pihak berkuasa Rusia selama beberapa tahun selepas Moscow didakwa menindas penduduk Islam di wilayah itu. - Agensi

-KOSMO

iPhone gerakkan kereta

BERLIN - Masihkah anda ingat adegan ejen perisik James Bond menggunakan kereta kawalan jauh untuk menyelamatkan diri daripada bahaya dalam filem Tomorrow Never Dies?

Teknologi itu kini menjadi satu realiti selepas sekumpulan saintis komputer di sebuah universiti Jerman membangunkan aplikasi yang menukar fungsi telefon bimbit pintar, iPhone menjadi alat kawalan jauh pada sebuah kereta mereka.

Dengan menekan butang pada skrin sesentuh iPhone, pemandu kereta berkenaan boleh mengawal stereng, brek dan pedal minyak walaupun dia berada di luar kenderaan.

Teknologi itu dikenali sebagai Autonomous Car dilengkapi pelbagai fungsi elektronik seperti sensor laser tiga dimensi (3D) selain sistem pengesan kedudukan global (GPS) dan Internet wayarles (WiFi).

Terdapat sebuah kamera video pada papan pemuka kereta itu yang menghantar isyarat video ke iPhone bagi membolehkan pemandu melihat pemandangan di depan kereta sekali gus mengawal kenderaan.

Alat kawalan jauh dan kereta itu yang dinamakan 'Semangat Berlin' dihasilkan oleh Kumpulan Kepintaran Buatan (AI) Universiti Freie di sini diketuai Professor Raúl Rojas. - Agensi

-KOSMO

Bebas tuduhan rogol pelatih wanita PLKN - Keputusan Hakim Mahkamah Sesyen pada 2005 diketepikan

KUALA TERENGGANU - Selepas empat tahun meringkuk di penjara, Koperal Zuki Mohd., 34, semalam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada tuduhan merogol seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada 28 Februari 2004.

Keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi itu mengetepikan keputusan hakim Mahkamah Sesyen pada 19 Disember 2005 yang memutuskan Zuki bersalah dan dihukum penjara selama 12 tahun dengan tiga sebatan.

Hakim V. T. Singham ketika membaca keputusan penghakiman kes rayuan itu berkata, pihak pendakwaan gagal mengemukakan kes prima facie terhadap tertuduh dan wujud kekhilafan dalam penghakiman kes itu sebelum ini.

Antara perkara dibangkitkan Singham adalah kenapa mangsa yang ketika itu berusia 17 tahun enggan membuat laporan polis lebih awal sedangkan dia berpeluang berbuat demikian.

"Sekiranya dia telah dirogol seperti didakwa, itu adalah satu kesalahan serius dan berat," katanya ketika membaca keputusan penghakiman selama sejam itu semalam.

Menurut beliau, pengadu juga pernah mendapatkan rawatan doktor di Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu, Kelantan pada 2 Mac 2004 tetapi hanya mengadu sakit dada, demam dan batuk tetapi tidak menceritakan kejadian tersebut sedangkan dia mempunyai peluang ketika itu.

Katanya, kredibiliti pengadu boleh diragui apabila dia membuang seluar dalam yang didakwa dipakai pada hari kejadian rogol dan keterangan dia dipaksa melakukan hubungan seks dalam kereta Perodua Kancil adalah tidak konsisten.

-KOSMO

'Runtuh sekelip mata'


  • 1 maut
  • 2 hilang
  • 294 murid

    Murid terselamat sempat berpaut pada kabel, terhumban dalam air cetek

    KAMPAR: "Beberapa murid melompat dan menggoyang-goyangkan jambatan dan dalam sekelip mata saya terhumban dalam sungai bersama beberapa murid lain yang menjerit ketakutan," kata seorang murid yang terselamat dalam kejadian jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, dekat sini malam kelmarin.

    Menceritakan detik cemas itu, Mohd Azid Teng, 12, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Bemban, berkata dia bernasib baik kerana terhumban ke kawasan air cetek berhampiran tebing sungai dan berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian yang mengorbankan seorang murid, manakala dua lagi masih hilang.

    Kejadian jam 10.30 malam berlaku ketika 30 hingga 50 murid dan seorang guru yang menyertai Perkhemahan 1Malaysia, di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan sedang menyeberangi jambatan selepas jamuan lewat malam di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang di seberang tapak perkhemahan itu.

    Sebahagian lagi murid berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada kabel jambatan sepanjang 50 meter yang baru siap kira-kira sebulan lalu, sebelum diselamatkan oleh beberapa guru serta seorang pengawal keselamatan yang terjun ke sungai.


  • Mayat mangsa yang lemas, Dina Deve a/p Nathan, 11, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Di Awan, di sini ditemui pasukan mencari dan menyelamat jam 8.30 pagi semalam, berhampiran loji bekalan air sungai berkenaan, kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian.

    Dua murid yang belum ditemui ialah M Darapharshini, 11, dari sekolah yang sama dan N Divyahshree, 12, dari SJKT Gopeng.

    Ketika kejadian paras sungai yang biasanya agak cetek, meningkat sehingga 1.5 meter dan berarus deras kerana hujan lebat di kawasan Gopeng yang terletak di hulu sungai.

    Ibu bapa murid berada di sekolah itu sejak tengah malam tadi untuk mendapatkan maklumat mengenai anak mereka dan keadaan agak kelam kabut apabila beberapa ibu bapa tidak dapat menahan kemarahan apabila sehingga jam 3 pagi, tiada maklumat mengenai anak mereka.

    Suasana bertambah kelam- kabut apabila penganjur perkhemahan membuat kiraan dan mendapati 22 murid didapati hilang, tetapi berubah tenang apabila pihak berkuasa mengesahkan hanya tiga yang hilang.

    Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, ketika ditemui di tempat kejadian berkata operasi mencari dihentikan jam 7 petang berikutan hujan serta cuaca yang semakin gelap dan sambung jam 7 pagi ini.

    Mangsa adalah antara 294 murid Tahun Empat, Lima dan Enam dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai kokurikulum perkhemahan anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.

    Perkhemahan yang membabitkan 23 guru itu dijadualkan bermula semalam hingga esok dan mula mendaftar sejak jam 3 petang kelmarin. Ia adalah yang kedua dianjurkan PPD Kinta Selatan selepas perkhemahan di SK Pos Raya, minggu lalu. Perkhemahan yang sama diadakan serentak di daerah Larut, Matang dan Selama serta Manjung.

    Peserta perkhemahan daripada pelbagai bangsa untuk menggalakkan mereka berinteraksi.

    Bongkah konkrit tapak tiang besi yang mengikat kabel tercampak kira-kira 10 meter, manakala sebahagian lantai jambatan masih di permukaan sungai.

    -BERITA HARIAN

    Kelantan, NS buka laluan final

    Red Warriors dapat modal selesa, anak didik Wan Jamak Wan Hassan depan ranjau


    NAIB juara Piala FA, Kelantan semakin hampir menempah tiket ke pentas final Piala Malaysia buat kali pertama sejak 39 tahun lalu, sesudah meraih kelebihan dua gol ke atas bekas juara, Perlis dalam saingan separuh akhir pertama, malam tadi.

    Jaringan pada setiap babak menerusi Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Rizal Fahmi Rosdi sudah cukup menggembirakan lebih 25,000 penyokong tuan rumah yang membentuk ‘Lautan Merah’ di Stadium Sultan Muhammed IV, untuk dijadikan bekalan sebelum skuad The Red Warriors bertandang ke Kangar, Sabtu ini.


    Namun mulanya ia tidak kelihatan begitu dengan rentak tari awal memihak Perlis yang mencipta dua peluang pada 10 minit pertama tetapi rembatan Ahmad Fakri Saarani, selepas melakukan gerakan solo diselamatkan penjaga gol Kelantan, Halim Napi manakala lencongan Nizaruddin Yusof pula sedikit melewati palang.

    Hanya selepas 18 minit aksi, Kelantan memperoleh peluang terbaik membuka jaringan tetapi tandukan padu dari jarak dekat Khairan Eroza Razali yang menerima hantaran lintang Indra Putra, sempat dikuis keluar penjaga gol pelawat, Mohd Farizal Marlias.

    Empat minit kemudian, Kelantan dihadiahkan sepakan penalti selepas Indra dikasari pertahanan lawan dan kapten tuan rumah itu tenang menyempurnakannya, sekali gus dentuman bunga api mengiringi gol berkenaan.

    Babak kedua menyaksikan persembahan Perlis lebih tersusun dengan gerakan pantas dari sebelah tepi yang sekali sekala mencemaskan pintu gol tuan rumah sehingga memaksa jurulatih Kelantan, B Sathianathan kerap kali bangun dari tempat duduknya.

    Namun ketika Perlis lebih banyak mengasak, Kelantan berpeluang menggandakan kelebihan jaringan pada minit ke-61 tetapi tandukan pemain pertahanan, Nazrulerwan Makmor yang menerima hantaran dari sepakan percuma Khairan Eroza, sedikit tersasar.

    Bagaimanapun, ketika permainan memasuki masa kecederaan, Kelantan akhirnya menemui sentuhan penamat yang diimpikan apabila Mohd Rizal, yang menerima sepakan penjuru Khairan Eroza, melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol kedua.

    -BERITA HARIAN

    Simpati nasib KD

    Datuk Siti Nurhaliza berharap penyanyi bermata galak itu yang juga sahabatnya tabah menerima ketentuan Ilahi


    MEREKA tiada pertalian darah namun jalinan persahabatan yang melingkari antara mereka berdua amat kukuh seperti darah daging sendiri. Ibarat isi dan kuku, begitulah eratnya hubungan penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza dan penyanyi dari Indonesia, Kris Dayanti (KD). Bukan saja berkongsi gelaran diva tetapi mereka juga berkongsi kisah suka duka, pahit manis dalam kehidupan peribadi.

    Di saat Siti berdepan dengan pelbagai kontroversi sama ada karier ataupun peribadi, Kris adalah antara teman rapat yang menjadi tempat untuknya meluahkan perasaan. Malah di hari bahagia Siti, Kris menghadiahkan pasangan itu lagu romantis, Mencintaimu. Begitu juga apabila penyanyi bermata galak itu dilanda musibah keretakan rumah tangga, Siti turut menjadi pendengar setia. Itulah sahabat sejati, hadir bukan setakat waktu gembira.


    “Memang kami ada berhubungan menerusi telefon dan dia ada menceritakan kesedihannya itu. Sebagai kawan saya hanya menasihatinya supaya bersabar dan tabahkan hati untuk menerima semua ketentuan Tuhan. Sedih juga apabila mendengar cerita dia yang dipinggirkan kawan-kawan artis hanya kerana isu itu. Bukan niat untuk mencampuri urusan rumah tangga mereka tetapi bagi Siti adalah tidak adil untuk Siti bersikap prejudis kerana di saat Siti berdepan dengan kontroversi dulu, dia adalah antara kawan yang tetap bersama Siti.

    “Mendengar suaranya menerusi corong telefon, Siti dapat rasakan kesedihan yang dia alami. Memang simpati dan adalah tidak adil untuk Siti bersikap prejudis terhadapnya tanpa mengetahui cerita sebenar,” ujar penyanyi jelita ini ketika diminta mengulas apakah projek khas yang akan menyaksikan dirinya dan Krisdayanti berduet akan menjadi kenyataan memandangkan penyanyi itu ditimpa masalah rumah tangga baru-baru ini

    Jelas Siti lagi, walau apapun terjadi, projek merakamkan album duet itu akan tetap dihasilkan dan buat masa ini mereka masih lagi dalam peringkat pra produksi.

    “Kami ada berjumpa dengan Audi Mok untuk mendapatkan key suara KD. Setakat ini kami sudah dapat beberapa buah lagu dan menunggu masa untuk merakamkannya. KD juga akan merakamkan lagu di studio di sini sebab baginya itu lebih selesa,” cerita Siti sambil memberitahu berkemungkinan album itu akan berada di pasaran penghujung tahun ini.


    Hadiah untuk arwah ayah

    SUDAH hampir sembilan bulan bapa Siti, Allahyarham Tarudin Ismail pergi menyahut seruan Ilahi. Namun sehingga kini ingatan Siti dan juga adik beradiknya terhadap arwah abah masih terus segar dalam memori.

    Justeru, bagi mengenang insan yang banyak menyokong kerjaya seninya serta sebagai menunjukkan kasih sayang seorang anak terhadap bapanya, Siti serta adik beradiknya yang lain iaitu Saida, Saerah, Ayie dan Ali merakamkan sebuah lagu khas berjudul Kini Kau Jauh.

    “Lagu ini bakal dimuatkan dalam duet Saida dan Saerah dan ia adalah hasil ciptaan Aidit Alfian dan Ad Samad. Sejak kematian ayah, saya tak nafikan yang kami amat merinduinya. Justeru apabila ibu saya, Siti Salmah Bachik meminta kami merakamkan sebuah lagu istimewa untuk arwah, kami terus bersetuju.

    “Bayangkan, sebagai tanda sokongannya terhadap usaha kami, dia sanggup meluangkan masa datang ke studio semata-mata untuk melihat sendiri anak-anaknya merakamkan lagu itu. Kami tidak merakamkan lagu itu secara serentak. Jadi, jika ada anaknya merakamkan lagu pada hari-hari tertentu, dia tetap akan datang untuk menyatakan sokongan,” cerita Siti lagi.

    Diminta bercerita pengalaman merakamkan lagu bersama adik beradik yang lain, Siti menyifatkannya sebagai satu pengalaman yang menarik buat mereka.

    “Seronok kerana peluang seperti ini bukan datang selalu. Lagipun ini adalah kali pertama kami bergabung beramai-ramai menyanyikan lagu baru. Cuma yang lucunya, apabila dua adik beradik Siti iaitu Ayie dan Ali yang berdepan dengan sedikit masalah dalam studio. Macam Ayie, dia sudah lama tak masuk studio manakala Ali pula, ini adalah pengalaman pertamanya merakamkan lagu, jadi terpaksa mengambil banyak masa iaitu lima jam sebelum lagu itu dapat disiapkan sepenuhnya. Nasib baik Saida dan Saerah sudah biasa kalau tidak mahu pening kepala Aidit,” seloroh Siti yang ditemui pada majlis sidang media ketika mengumumkan Konsert Seribu Warna di pejabatnya, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd (SNP), di Cheras, baru-baru ini. Hadir sama Pengurus Besar Hai-O Marketing Sdn Bhd Tan Kee Hock, Saida, Saerah dan kumpulan Coda.

    Konsert yang akan diadakan pada 14 November di Stadium Malawati Shah Alam itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-17 syarikat Hai-O Marketing Sdn Bhd (Hai-O) yang juga penganjur utama konsert itu.

    Sebaik saja sidang media selesai, Siti sempat juga menunjukkan studio rakaman miliknya yang sedang dalam pembinaan. Kata Siti, studio yang terletak di tingkat bawah pejabatnya itu adalah hadiah dari arwah bapanya.

    “Memang dia sengaja mahu rahsiakan pembinaan studio ini. Jadi setiap kali dia datang ke Kuala Lumpur, dia akan melihat proses pembinaan studio terbabit. Yang lucunya, dia akan bertanyakan kepada setiap orang sama ada saya perasan atau tidak kewujudan studio terbabit. Malah, dia juga siap berpesan supaya tidak membenarkan saya menjenguk tingkat bawah pejabat itu bimbang rahsia terbongkar,” imbas Siti.

    4,000 tiket untuk peminat

    MUNGKIN akan ada yang bertanya-tanya, apa perlunya Siti mengadakan konsert lagi selepas menjayakan Konsert Satu di Istana Budaya penghujung Ogos lalu. Dan tidakkah Siti bimbang jika ada pihak yang akan membandingkan Konsert Seribu Warna dengan Konsert Satu yang diakui cukup hebat dan berjaya meletakkan Siti pada satu tahap yang lebih tinggi. Pun begitu saat diajukan persoalan ini pada empunya diri, Siti berkata kedua-dua konsert itu mempunyai keistimewaan masing-masing.

    “Siti harap janganlah membandingkan antara kedua-dua konsert ini kerana ia memang tidak sama. Konsert Satu adalah konsert yang menjadi impian Siti kerana ia membawakan konsep teaterikal manakala konsert ini lebih kepada untuk menghiburkan ahli kelab Hai-O. Sebanyak 10 ribu tiket dikeluarkan dan pihak Hai-O bermurah hati untuk memberikan empat ribu tiket kepada peminat Siti.

    “Untuk konsert ini, selain beraksi secara solo, Siti juga akan menampilkan artis dari SNP yang lain seperti Saida, Saerah dan kumpulan Coda untuk acara pembukaan nanti. Siti juga akan berkolaborasi dengan mereka untuk satu, dua lagu. Dan selepas itu, barulah Siti menyanyi secara solo selama 90 minit. Siti akan bawakan pelbagai rangkaian lagu popular Siti termasuk dua buah lagu dari penyanyi lelaki yang amat Siti minati. Kira macam segmen tribute untuk mereka,” cerita Siti yang tegar berahsia siapakah dua penyanyi lelaki yang dimaksudkannya itu.

    Selain mengubat kerinduan peminat yang masih ingin menyaksikan konsertnya, Siti berkata Konsert Seribu Warna juga memberi peluang kepada peminat yang tidak berpeluang menyaksikan Konsert Satu.

    “Tiket konsert sudah pun mula dijual dan Siti harap peminat tidak lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert ini. Tiket berdasarkan siap cepat dia dapat,” kata Siti yang akan menggayakan rekaan Hatta Dolmat untuk konsertnya itu. Untuk persembahannya itu, Siti akan diiringi pemuzik profesional di bawah bimbingan Aubrey Suwito.

    INFO: Konsert Seribu Warna

    Tiket berharga RM60 boleh didapati di Box Office (IB), Triways Travel & Tours (KLCC/ Taman Tun Dr Ismail), Malaysia Travel Bureau, Sri Amera Holiday Sdn Bhd (Plaza Alam Sentral, Shah Alam), Pasar Awam (Presint 16, Putrajaya) dan TicketCharge, The Boulevard (Mid Valley) selain laman sesawang ticket2u.biz.

    -BERITA HARIAN

    Rahsia serasi bersama selamanya

    Anda dan dia tidak merancang untuk menamatkan zaman bujang terlalu awal kerana masih mudah dan belum puas “enjoy”. Tetapi dalam masa yang sama anda juga bimbang andainya cinta yang telah lama dibina tanpa ikatan akan pudar. Berikut adalah tip untuk mengunci hatinya dan pasti setiap hari akan bertambah cintanya.

    Adalah sesuatu yang menyeronokkan apabila kamu menyatakan bahawa hanya dirinya seorang bertakhta di hati buat selamanya dan tiada duanya.

    Setiap kali dia melakukan kesilapan jangan sesekali merendah-rendahkan dirinya. Tugas anda adalah member sokongan agar dia bangkit memperbaiki kesilapan dan bukan membuatkan dirinya rasa rendah diri.

    Jangan terlalu berdandan sehingga membuatkan si dia bosan denganmu.

    Jangan rasa terlalu kecewa sekiranya si dia terlupa melakukan sesuatu yang kecil untukmu.

    Jangan bandingkan dirinya dengan sesiapa kerana si dia akan menganggap kamu lebih suka orang lain dari dirinya.

    Hargailah peribadi miliknya, jangan sesekali menceroboh membaca diarinya.

    Berikan nama gelaran yang mesra tetapi hanya kamu berdua sahaja yang mengetahuinya.

    Jangan malu untuk member mesej atau ucapan sendiri padanya jika kamu rindukan dia terutama apabila si dia tidak ada di sampingmu.

    sentiasa mengingatinya dalam apa juga situasi yang kamu lakukan dan percayalah apabila kamu mengingatinya dia juga akan begitu.

    Setiap malam telefonlah dia untuk mengucapkan selamat malam.

    Sekiranya ada kelapangan ajaklah dia bercuti.

    Raikan hari jadinya dan lakukan kejutan dan sambutan yang berlainan setiap tahun.

    Jika dia membyar tiket wayang tidak salah kalau anda pula membeli makanan dan minuman ringan.

    Jika kamu mempunyai lessen memandu jangan biarkan hanya dirinya yang memandu.

    Tawarkanlah bantuan anda untuk membantunya memandu agar si dia tidak berasa seperti pemandu.

    Paling menarik adalah apabila anda sekali-sekala menghantarkan kad ucapan yang dibuat sendiri. Jangan tunggu sehingga hari jadinya atau ulangtahun bersama, hari-hari biasa juga kamu boleh meluahkan perasaan cintamu padanya.

    Apabila berlaku perkara yang memalukan pada dirnya, jangan bertanya atau mencungkil perkara tersebut sebaiknya buat-buatlah tidak tahu.

    Misteri kawah gergasi

    RIGA, Latvia - Penduduk di utara Latvia gempar apabila sebuah kawah besar terbentuk dipercayai akibat dihentam sebutir tahi bintang lewat kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.

    Kejadian itu berlaku dekat sebuah rumah ladang dekat bandar Mazsalaca dalam daerah Valmiera berhampiran dengan sempadan Estonia, 798 kilometer ke tenggara Moscow, Rusia.

    Ia menghasilkan kawah sedalam lima meter dan selebar 15 meter, namun saksi-saksi berkata, mereka mendengar bunyi kuat seperti sebuah pesawat terbang yang rendah sebelum kawah tersebut terbentuk.

    Seorang jurucakap perkhidmatan bomba Latvia berkata, satu unit pengesan kimia dari pasukan tentera telah menguji kesan objek tersebut dan mendapati paras radiasi masih normal.

    Anggota polis membuat kepungan di sekitar kawasan tersebut sementara menunggu pakar geologi dari Universiti Latvia tiba bagi mengesahkan sama ada objek itu ialah tahi bintang. - Agensi

    -KOSMO

    Saintis hasil klon anjing didapati bersalah

    SEOUL - Saintis genetik Korea Selatan, Hwang Woo-suk semalam didapati bersalah terhadap tuduhan menggelapkan wang dan lain-lain kesalahan berkaitan skandal hasil penyelidikan sel stem.

    Woo-suk, 56, yang pernah dianggap hero Korea Selatan kerana 'berjaya' menghasilkan anjing klon pertama dunia, Snuppy, dilepaskan daripada tuduhan penipuan

    Namun, dia didapati bersalah terhadap penyalahgunaan dana penyelidikan dan membeli telur manusia secara haram untuk tujuan penyelidikan.

    Pendakwa raya memohon Mahkamah Daerah Pusat Seoul menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun terhadap Woo-suk kerana menganggap beliau tidak menunjukkan perasaan kesal.

    Namun, hakim memutuskan saintis itu hanya akan dipenjarakan jika dia didapati melakukan sebarang kesalahan dalam tempoh tiga tahun.

    Woo-suk tampil dengan yakin di mahkamah namun beliau enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung kes tersebut sejurus meninggalkan mahkamah. - AP

    Pada 2004, Woo-suk dan rakan-rakannya dari Universiti Kebangsaan Seoul mendakwa dalam satu penerbitan akademik, dia berjaya menghasilkan embrio klon manusia.

    Berikutan itu, pemerintah Korea Selatan menarik hak Woo-suk untuk melakukan penyelidikan mengenai sel stem pada 2006.

    -KOSMO

    Bank Islam optimis Al-Awfar dapat sambutan

    KUALA LUMPUR - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengunjurkan sebanyak RM300 juta nilai simpanan baru bagi akaun Al-Awfar mampu dikumpulnya daripada 100,000 pemegang akaun simpanan tersebut menjelang bulan Disember tahun ini.

    Pengurus Besar Divisyen Perbankan Pengguna Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, statistik tersebut bakal dicapainya memandangkan akaun simpanan tersebut menawarkan pelbagai insentif menarik termasuk berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.

    Menurutnya, sehingga 20 Oktober lalu, Al-Awfar telah berjaya mengumpul deposit simpanan dan pelaburan sebanyak RM237.7 juta daripada 65,858 akaun.

    "Kami optimis Al-Awfar akan terus menarik minat pengguna.

    "Bukan sahaja pemegang akaun dapat menabung dan memperoleh keuntungan tetapi juga ia menyediakan tawaran unik yang membolehkan mereka berpeluang memenangi wang tunai sehingga RM100,000 setiap tiga bulan," katanya pada majlis penyampaian hadiah cabutan kedua Al-Awfar yang diadakan di ibu pejabat Bank Islam di sini semalam.

    -KOSMO

    Vaksin H1N1 minggu ini

    KUALA LUMPUR - Agihan pertama sebanyak 78,000 vaksin selesema babi atau H1N1 yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal dari Britain, GlaxoSmithKline (GSK) dijadual tiba minggu ini.

    Ia sebahagian daripada 200,000 vaksin H1N1 yang telah ditempah dengan kos RM14 juta untuk kegunaan petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat serta anggota pasukan keselamatan.

    Vaksin itu juga akan disuntik kepada kumpulan yang berisiko tinggi seperti ibu mengandung dan kanak-kanak.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, walaupun tahap penularan wabak itu terkawal, vaksin tersebut tetap penting berikutan pengisytiharan tahap kecemasan wabak di Amerika Syarikat (AS).

    "Baki vaksin yang dipesan itu dijangka tiba awal Januari tahun depan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Penyakit Gastrointestinal dan Hati di Hospital Selayang di sini semalam.

    Katanya, vaksin itu perlu disuntik satu dos sahaja sebagai langkah pencegahan dijangkiti H1N1.

    Selain produk GSK itu, kementerian berkenaan juga dalam proses membuat tempahan peringkat kedua dengan mengkaji sumber daripada pengeluar lain bagi mendapatkan harga dan kualiti terbaik.

    Antara sumber vaksin H1N1 yang dikaji ialah keluaran syarikat farmaseutikal dari China dan Taiwan.

    Walaupun penularan wabak itu semakin perlahan, Tiong Lai mengingatkan bahawa risiko gelombang kedua H1N1 akhir tahun ini tetap tinggi.

    Menurut beliau, pihak berkuasa bimbang musim tengkujuh yang biasanya berlaku pada hujung tahun mendorong wabak tersebut merebak semula pada kadar lebih cepat.

    "Kita perlu bersedia untuk menghadapi wabak pusingan kedua yang mungkin lebih berbahaya,'' tegasnya.

    Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, jika gelombang kedua berlaku, virus itu boleh merebak dengan cepat seperti wabak Spanish flu pada 1918 yang telah mengorbankan berjuta mangsa.

    Tiong Lai berkata, bilangan pesakit H1N1 yang masih dirawat di hospital seluruh negara berkurangan manakala angka korban kekal 77 orang.

    Wabak itu meragut korban pertama di Malaysia pada Julai lalu.

    -KOSMO

    ‘Ustaz psiko’ buat hal lagi

    AMPANG: Tak serik-serik. Biarpun pernah ditahan atas kesalahan menipu orang ramai yang mendaftar mengerjakan umrah tahun lalu, seorang lelaki yang digelar ‘ustaz psiko’ sekali lagi buat hal apabila dikesan menipu wang jemaah masjid dengan mengadakan program motivasi dan ceramah.

    Malah, lelaki itu yang bakal dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam awal bulan depan berhubung kes penipuan terbabit aktif menipu jemaah masjid sejak tiga bulan lalu.

    Lelaki ‘alim kucing’ itu kali ini memperdayakan orang ramai dengan bergerak menggunakan syarikat yang konon ditubuhkannya sendiri, namun tembelangnya pecah apabila hasil pemeriksaan ahli jemaah mendapati syarikat terbabit langsung tidak wujud.

    Masih dengan taktik menjaja diri sebagai imam atau ustaz berperwatakan warak, lelaki berusia 27 tahun itu menganjurkan ceramah di sekitar masjid dan surau dengan mengenakan bayaran tertentu walaupun dia sebenarnya langsung tidak layak memberikan ceramah berkaitan agama kerana tidak berkelayakan.

    Menurut sumber yang juga mewakili ahli jemaah masjid di daerah ini, mereka mula mengesyaki lelaki terbabit menipu apabila setiap kali mengadakan ceramah atau motivasi, dia hanya mengutarakan isu yang sama dan akan mengelak jika disuruh menyampaikan tajuk lain berkaitan agama.

    “Kami mulai pelik dengan sikap lelaki itu kerana setiap kali ceramah dia hanya memainkan isu murtad, sosial serta isu halal dan haram.

    “Jika diminta menyampaikan ceramah lain yang berkaitan agama, dia pasti akan mengelak dan kami akhirnya sepakat untuk menyiasat latar belakang lelaki itu,” katanya.

    Menurutnya, mereka terkejut apabila mengetahui lelaki terbabit sebenarnya penipu dan pernah ditahan sebelum ini selain turut dibuang kerja kerana mempunyai masalah disiplin.

    “Selain itu, setiap kali selesai berceramah, lelaki itu akan meminta kami menyumbangkan wang dalam bekas yang disediakannya kononnya untuk membantu dia yang mendakwa membuka pusat tahfiz di Banting.

    “Dia mendakwa membuka pusat tahfiz terbabit secara percuma tanpa mengenakan bayaran dan meminta kami memberikan sumbangan secara ikhlas dengan tujuan membantu pelajar di pusat itu,” katanya.

    Menurut sumber itu, bagaimanapun dakwaan lelaki terbabit tidak benar apabila seorang jemaah wanita yang kebetulan tinggal di kawasan itu bertanyakan alamat penuh pusat berkenaan.

    “Ketika ditanya lokasi pusat tahfiz itu, lelaki terbabit gagal memberikan alamat dan meminta nombor telefon kepada jemaah wanita yang bertanyakan kepadanya.

    “Dia memberitahu akan menghantar SMS memberitahu alamat pusat tahfiz berkenaan kepada jemaah wanita itu, namun akhirnya dia hanya berdiam diri membuatkan mereka semua mula mengesyaki ditipu lelaki berkenaan,” katanya.

    Berikutan itu, seorang daripada jemaah kemudian membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, semalam selepas mereka gagal mengesan lelaki berkenaan yang menghilangkan diri secara tiba-tiba sejak beberapa minggu lalu.







    Muka depan Harian Metro Ogos tahun lalu pernah melaporkan kes lelaki berkenaan yang ditahan polis selepas dia menipu beberapa jemaah yang mahu mengerjakan umrah.

    Dia ketika itu mengambil deposit wang daripada jemaah terbabit dengan menggunakan nama sebuah agensi di mana dia sebenarnya sudah dibuang oleh syarikat berkenaan kerana mempunyai masalah disiplin.

    Ketika itu, lelaki berkenaan menipu orang ramai dengan mendakwa dia pernah menjadi Imam Masjid Alice Spring di Australia selain mengimamkan solat tarawih yang disertai Yang di-Pertuan Agong.

    Selain itu, suspek pernah ditahan atas kesalahan berkhalwat oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dua tahun lalu dan dia ketika itu sanggup mendakwa pernah menjadi imam besar Masjid Bangsar semata-mata untuk melepaskan diri.

    -HARIAN METRO

    Ibu bunuh anak dipenjara 10 tahun

    KOTA BHARU: Seorang ibu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh bayi lelakinya berusia 10 bulan, dua tahun lalu.

    Hakim Mohd Azman Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas Bahasniza Abu Bakar, 36, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan yang dihadapinya.

    Mohd Azman menetapkan hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 7 Julai 2007.

    Bahasniza dituduh menyebabkan kematian anaknya, Mohammad Asyraf Noor Aswadi dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan, yang mungkin menyebabkan kematiannya.

    Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Kubang Berulat, Gunong, Bachok antara jam 12.30 pagi hingga 3 pagi pada 7 Julai 2007.

    -METRO

    Perkembangan syahwat

    SETIAP manusia dianugerahkan Tuhan naluri dan nafsu syahwat yang tercetus sejak peringkat janin di dalam rahim ibu lagi. Ia kemudian berkembang dan semakin mantap di peringkat baligh remaja, dewasa dan kekal ke akhir hayat.

    Bayi di dalam perut ibu mendapat pemantapan sistem syahwat melalui hormon syahwat yang dikeluarkan oleh ibu. Hormon ibu mempengaruhi pembentukan anggota syahwat dan sistem urat saraf berkenaan.

    Proses orientasi seks pula bermula dengan fasa ‘oral’ atau mulut dan bayi mendapat keselesaan serta ketenangan melalui rangsangan bahagian ini. Perkembangan kemudian beralih kepada fasa ‘anal’ atau lubang najis dan ‘urethral’ atau lubang kencing.

    Proses orientasi seksual berterusan sehingga dewasa dan ke peringkat lanjut usia. Tidak menghairankan jika penghayatan seks untuk individu berubah-ubah, daripada tiada penghayatan kepada ada penghayatan, remaja, dewasa tetapi menurun apabila usia semakin tua.

    Bagi individu yang menjalani proses pengenalan diri atau seksualitinya, dia akan menikmati perasaan syahwat yang berubah-ubah mengikut mood dan emosinya

    Oleh itu, adalah biasa jika seseorang itu berasa tidak seronok dalam keadaan tertentu ketika berdampingan dengan pasangan, tetapi seronok yang tidak terhingga dalam keadaan berbeza.

    Ia sama seperti penghayatan rangsangan syahwat yang juga berbeza ketika usia muda dan lebih dewasa, juga sebelum melahirkan anak serta selepas melahirkan anak.

    Ada juga keadaan yang dapat meningkatkan keberahian atau mencetuskan syahwat seperti tempat, pakaian, bauan, objek serta keadaan tertentu.

    Fenomena ini dikenali sebagai ‘fetishes’ atau ‘fetishesme’ yang juga boleh berubah-ubah dalam penghayatan rangsangan syahwat.

    Sememangnya proses penghayatan syahwat berubah-ubah dan biasanya perubahan itu positif atau kepada yang lebih seronok. Namun, kadangkala ia negatif iaitu tidak menyeronokkan.

    Jika ini berlaku, tentu ia mendatangkan masalah kepada pasangan dan perlu dipulihkan sama ada secara perbincangan bersama, dengan doktor atau pembimbing seks.

    Penghayatan seks atau hubungan intim pada usia muda membabitkan individu yang masih ‘mentah’ itu belum tahu atau mengenali seksualitinya tidak akan berjalan lancar, kecuali selepas mula membuka minda, mempelajari, memahami dan menerokai hubungan yang terjalin.

    Sentuhan dan belaian adalah sebahagian daripada hubungan intim. Jika selesa, pasangan perlu teruskan kepada tindakan lebih intim.

    Kajian menunjukkan keseronokan syahwat dan keintiman seksual menyegarkan kesihatan pasangan, meningkatkan tahap kesihatan ke paras tinggi.

    Kelantan mula rancang strategi


    KELANTAN sudah merancang strategi untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia.

    Kejayaan membenam KL Plus di Kota Bharu malam kelmarin semakin melonjakkan semangat pemain skuad Wira Merah itu.

    Beraksi di depan lebih 25,000 'tentera merah' mematikan langkah anak buah Mat Zan Mat Aris sekali gus membiarkan Stadium Sultan Mohamad Ke-IV dikuasai sang Kijang.

    Bagi pengendali Kelantan, B. Sathianathan, beliau gembira dengan keputusan tersebut yang telah melayakkan pasukannya mara ke separuh akhir untuk bertemu Perlis.

    Menurutnya, kematangan yang ditunjukkan selain bijak mengawal emosi ketika berdepan puluhan ribu penyokong jelas menarik minatnya untuk menghamburkan pujian kepada barisan pemainnya.

    "Saya mengharapkan pemain terus konsisten dengan persembahan yang dipamerkan untuk perlawanan seterusnya.

    "Di sebalik kejayaan tersebut masih ada ruang yang perlu diperbaiki. Ada satu dua peluang yang boleh menghasilkan gol, tetapi kegopohan menyebabkan kita terlepas peluang tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.

    Sementara itu, Sathianathan mungkin kehilangan dua pemain tonggaknya ketika turun menentang Perlis di Kota Bharu, Selasa ini selepas Ahmad Azlan Zainal dan Zamri Ramli mengalami kecederaan.

    "Kita akan memantau keadaan mereka, dua hari mungkin tempoh yang terlalu singkat untuk mereka cergas sepenuhnya dan kita akan lihat apa yang kita boleh buat nanti.

    "Keadaan seperti ini sentiasa berlaku dalam sebuah pasukan, jadi pemain simpanan perlu sentiasa bersedia untuk diturunkan," jelasnya.

    Pada perlawanan malam kelmarin, Kelantan menundukkan KL Plus 3-0 dengan gol pembukaan dihasilkan oleh Indra Putra Mahayuddin menerusi sepakan penalti.

    Norfarhan Mohamad turut mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-76 dan 79.

    -KOSMO

    Gerrard sasaran terbaru Real

    LONDON - Steven Gerrard dilaporkan menjadi pemain terbaru yang menjadi buruan Real Madrid pada musim depan.

    Difahamkan bahawa presiden Real, Florentino Perez akan membuat tawaran sehingga £30 juta (RM167 juta) ke atas kapten Liverpool itu.

    Sumber memberitahu: "Bukan rahsia lagi bahawa Perez dan pengarah teknikal, Jorge Valdano amat meminati Gerrard.

    "Sudah ada satu senarai pemain yang akan dibeli musim depan dan Gerrard adalah yang paling atas."

    Situasi ini pastinya membimbangkan peminat The Reds yang dalam misi memenangi gelaran Liga Perdana buat kali pertama sejak 1990.

    Ia juga menambah lagi tekanan ke atas pengurus Liverpool, Rafael Benitez yang menyaksikan anak buahnya bergelut dengan prestasi musim ini.

    Perez sebelum ini telah pun berjaya memancing bekas perancang The Reds, Xabi Alonso dengan harga £28.8 juta (RM160 juta) musim lepas.

    Dia merancang membawa Gerrard ke Bernabeu musim ini selepas berjaya dipilih semula menyandang jawatan presiden kelab gergasi Sepanyol itu.

    Begitupun, Gerrard mengumumkan yang dia tidak berminat ke atas sebarang tawaran tersebut dab mahu membantu Liverpool memberi saingan kepada Manchester United dalam perebutan gelaran juara liga.

    Namun situasi yang sedang melanda kelab tersebut ketika ini mungkin bakal mempengaruhinya meninggalkan Anfield. - Agensi

    -KOSMO

    Kelab poligami dikritik

    JAKARTA - Rancangan sekumpulan wanita Malaysia menubuhkan Kelab Poligami di Indonesia dibidas oleh pelbagai badan agama dan wanita di negara paling ramai umat Islam itu.

    Mereka mendakwa poligami sepatutnya menjadi urusan peribadi dan bukannya mewujudkan perkhidmatan untuk mencari jodoh bagi menambah bilangan isteri.

    Namun pengerusi kelab itu, Hatijah Am berkata, seramai 30 buah keluarga tempatan menghadiri majlis penubuhan cawangan pertama kelab tersebut di Bandung, Jawa Barat minggu lalu.

    Sementara itu jurucakap Hatijah, Rohaya Mohamad berkata, beberapa cawangan akan dibuka termasuk di Jakarta.

    "Indonesia ialah sebuah negara yang majoritinya penduduk Islam menyebabkan poligami akan menjadi satu cara hidup di sini," katanya.

    Poligami dipercayai akan mengecapi populariti di Indonesia tetapi sukar untuk menentukan bilangan yang melakukannya kerana perkahwinan itu diadakan secara rahsia dan tidak direkodkan oleh pemerintah.

    Undang-Undang Perkahwinan 1974 membenarkan seorang lelaki mempunyai isteri kedua jika isteri pertama mandul atau sakit.

    Seorang tokoh Majlis Ulama Indonesia, Ma'ruf Amin menyifatkan kelab itu kurang diperlukan.

    "Ia akan mencetuskan reaksi negatif berbanding untuk menyelesaikan masalah kerana amalan itu ditentang oleh kebanyakan wanita di negara yang mempunyai 235 juta penduduk ini," katanya.

    Pengarah Institut Keadilan Wanita Indonesia, Nursyahbani Katjasungkana tidak menentang poligami tetapi dia menyatakan kelab itu tidak wajar mempromosikannya.

    Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Malaysia dilaporkan memantau kelab itu yang didakwa mempunyai 1,000 ahli termasuk 700 wanita, kebanyakannya bekas pengikut Al-Arqam.

    Pengasas kelab itu, Hatijah ialah antara empat isteri bekas pemimpin kumpulan sesat yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada 1994 iaitu Ashaari Muhammad. - AP

    -KOSMO

    Bahana seks bebas

    ISLAM melarang penganutnya berzina, iaitu melakukan hubungan seks tanpa nikah. Ia juga melarang seseorang itu bertukar-tukar pasangan dan melakukan hubungan seks secara rambang atau bebas.

    Setiap perkara dilakukan akan memberi kesan kepada kehidupan kita. Sehubungan itu, berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara adalah jalan terbaik bagi mengelak menyesal di kemudian hari.

    Seks bebas adalah perkara yang wajib dielak, sebab itu agama melarang keras kerana dalam perspektif perubatan moden diakui bahawa amalan seks bebas boleh mendatangkan kemudaratan.

    Saya menerima banyak persoalan daripada lelaki melakukan seks rambang mengenai kesan dihadapi mereka.

    Hakikatnya ialah, gejala atau kesan daripada hubungan seks rambang sukar diduga, terutama jika hubungan itu tidak dirancang.

    Kajian menunjukkan hubungan seks mudah berlaku apabila lelaki dan wanita dalam keadaan berdua-duaan dan ketika itu mereka tidak terfikir apa juga kesan daripada tindakan yang bakal dilakukan.

    Kebanyakan mereka melakukan perbuatan itu dengan orang yang mereka kenali dan biasanya tidak terlintas dalam minda mereka yang si dia mungkin membawa jangkitan.

    Bagi lelaki, jika anggota sulit mengalami kesakitan dan lendir seperti air mazi keluar dari salur kencing selepas melakukan persetubuhan, dia berkemungkinan dihidapi penyakit kelamin.

    Jika tidak menggunakan kondom, kondom digunakan bocor, terlucut atau koyak, ada kemungkinan terkena jangkitan. Jika cecair kekuningan keluar dalam masa 24 jam selepas melakukan hubungan seks, kemungkinan terkena jangkitan Gonorhea.

    Bagaimanapun, jika lendir yang keluar itu berlaku beberapa minggu kemudian dan ia keluar sedikit atau hanya kelihatan tanda di dalam seluar dalam, kemungkinan ia jangkitan kuman Virus Chlamydia.

    Jika menghidap jangkitan itu, ada kemungkinan ia boleh merebak ke buah zakar dan mengakibatkan keradangan buah zakar. Jika ia merebak ke pundi prostat, keradangan prostat boleh berlaku.

    Saya ingin mengingatkan yang andainya jangkitan dan virus itu disebarkan kepada wanita lain, kemungkinan besar wanita malang itu boleh mandul.

    Lelaki berkenaan juga berkemungkinan mandul jika jangkitan itu mengakibatkan salur spermanya tersumbat.

    Kepada mereka yang terlanjur dan mengesyaki terkena jangkitan, segera jumpa doktor. Ujian darah akan mengesahkan jangkitan dan penyakit ini ada rawatannya.

    Modenas perkenal motosikal terbaru CT 110

    Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) memperkenalkan motosikal terbarunya, CT 110 menggunakan enjin berkuasa 110cc yang pernah digunakan pada model Kriss sebelum ini dengan sasaran menjual 2,000 unit model berkenaan sebulan.

    Ketua Eksekutif Modenas, Bastamam Hamzah, berkata pelancaran model berkenaan dijangka dapat membantu syarikat mencapai sasaran jualan 60,000 unit motosikal bagi 2010, iaitu lapan peratus lebih tinggi daripada jualan keseluruhan tahun ini.

    Katanya, pelancaran model GT 128 pada Mac lalu serta model CT 110, akan dapat membantu Modenas memperbaiki penguasaan pasaran keseluruhan daripada 12 peratus ketika ini kepada kira-kira 15 peratus.

    "Kami berharap pengenalan CT 110 dan GT128 pada Mac lalu akan menjadi pemangkin bagi syarikat untuk terus mengorak langkah dalam memastikan Modenas sentiasa menjadi jenama pilihan ramai," katanya pada sidang media selepas melancarkan Modenas CT 110 di Shah Alam, Jumaat lalu.

    Pelancarannya disempurnakan Pengerusi DRB-Hicom Bhd yang juga Pengerusi Modenas, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza.

    Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

    Bastamam berkata, Modenas tetap akan menerus-

    kan rancangannya untuk mengeluarkan motosikal dengan kapasiti yang lebih besar kerana terdapat permintaan bagi segmen sede-mikian daripada pasaran negara ini.

    "Bagaimanapun, selain permintaan, kita juga perlu mengambil kira beberapa aspek lain seperti pengeluaran dan kos untuk mengeluarkan model sedemikian," katanya.

    Beliau menambah, buat masa ini, syarikat lebih selesa untuk mengeluarkan model motosikal yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan iaitu dalam segmen 100 hingga 110cc.

    "Segmen 100 hingga 110cc kekal menjadi penyumbang tertinggi kepada jualan syarikat iaitu antara 50 hingga 55 peratus," katanya.

    Bastamam menambah, model yang terhasil kali ini dilengkapi brek cakera hadapan dwipiston untuk kuasa membrek yang lebih sempurna, transmisi empat kelajuan dengan sistem gear berputar.

    Katanya, model itu juga mampu menarik minat pengguna di bandar raya kerana reka bentuknya yang aerodinamik dan bergaya serta mudah dikendalikan semasa tunggangan di atas jalan raya yang sesak.

    "Ia mempunyai empat warna pilihan iaitu Merah Iris, Emas Suria, Perak Sfera dan Putih Nova serta grafik terkini mampu menarik minat penunggang motosikal," katanya.

    Beliau menambah, model itu dijangka mampu menepati cita rasa pengguna antara usia 18 hingga 25 tahun yang mahukan ketrampilan 'sporty' dan berani.

    Harga jualan bagi model CT 110 ialah RM3,888 (penghidup tendang) dan RM4,188 (penghidup elektrik).

    - BERITA HARIAN

    Followers

    Shoutbox


    ShoutMix chat widget