Terkini Dan Sensasi

Koleksi Berita Semasa Dan Info Menarik

DAN perkenal 18 langkah baru

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Semakan semula Dasar Automotif Nasional (DAN) memperkenalkan 18 langkah baru yang meliputi pelesenan, duti, insentif, teknologi, standard dan keselamatan serta permit import (AP), berkuatkusa pada 1 Januari 2010.

Antara polisi yang menjadi tumpuan ialah syarikat asing akan diberi lesen pengeluaran (ML) untuk memegang ekuiti 100 peratus dalam syarikat yang mengeluarkan kenderaan mewah dengan kapasiti enjin lebih 1,800 cc dan berharga lebih RM150,000 manakala sistem Permit Import (AP) terbuka akan dihapuskan pada 2015.

AP francais yang melibatkan kenderaan baru akan dimansuhkan pada 31 Disember 2020.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mustapa Mohamed berkata, pengenalan polisi baru itu, bertujuan meningkatkan daya saing industri automotif dengan objektif menjadikan Malaysia sebagai hab automotif di rantau ini.

''Antara langkah dalam merealisasikan objektif tersebut dengan menggalakkan pembuat kereta nasional utama negara, Proton Holdings Bhd. (Proton) mencari rakan strategik dengan pengeluar kelengkapan asal (OEM) global.

''Pada masa ini Proton masih belum mempunyai rakan strategik dan sedang berbincang dengan mereka yang berminat,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai pengumuman semakan semula DAN, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri MITI, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Jacob Dungau Sagan.

Tambah Mustapa, dalam usaha kerajaan mempromosi segmen berimpak tinggi, pembekuan ML akan ditarik balik bagi segmen automotif terpilih bagi membantu memberi kesan kepada ekonomi negara.

''Liberalisasi ini penting dalam menghasilkan keuntungan lebih tinggi. Oleh itu, kerajaan akan menarik balik pembekuan lesen bagi segmen kereta mewah dengan enjin berkapasiti 1,800 cc dan ke atas dengan harga di atas jalan tidak kurang RM150,000.

''Selain itu, ia juga melibatkan segmen kenderaan hibrid dan elektrik, kenderaan jenis pikap, kenderaan perdagangan dan motosikal enjin berkapasiti 200cc dan ke atas,'' jelasnya.

"Pengeluaran ML ini juga tidak akan dikenakan syarat ekuiti bagi syarikat pembuat kenderaan asing atau tempatan.

''Ini bermakna mereka boleh memiliki 100 peratus kepentingan, mereka juga boleh menggunakan kemudahan sedia ada atau membina kilang baru di sini.

''Dasar semasa berhubung pemasangan kenderaan secara kontrak dikekalkan bagi menggalakkan penggunaan lebihan kapasiti serta pembekuan lesen bagi aktiviti bina semula kenderaan perdagangan dikekalkan,'' katanya.

Sementara itu, bagi cukai dan duti dikecualikan untuk menggalakkan eksport untuk produk bernilai tambah tinggi terutama bagi produk yang dieksport dalam usaha menggalakkan peningkatan kualiti.

Mustapa berkata, ini termasuk pengecualian cukai sebanyak 30 peratus berbanding 10 peratus bagi produk eksport dengan 30 peratus komponen tempatan, manakala penggunaan 50 peratus komponen tempatan bakal menerima pengecualian cukai sehingga 50 peratus berbanding 15 peratus sebelumnya.

Bagi memenuhi komitmen kerajaan terhadap Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), Malaysia komited untuk mengurangkan dan menghapuskan duti import semasa secara berperingkat.

Katanya, kadar duti import dan eksais bagi kenderaan pasang siap sepenuhnya (CBU) dan kenderaan terurai sepenuhnya (CKD) akan dikekalkan serta pewartaan harga bagi CBU import terpakai.

Kerajaan juga akan memperkenalkan mekanisme untuk menghalang komponen dan alat ganti terpakai bermula Jun 2011.

Pada masa ini, alat ganti dan komponen baru serta terpakai boleh diimport tanpa sebarang sekatan dan dalam beberapa kes menyebabkan masalah keselamatan dan pencemaran alam sekitar.

Kerajaan juga akan memansuhkan secara berperingkat pengimportan kenderaan terpakai berkuatkuasa 1 Januari 2016 selaras dengan pemansuhan secara berperingkat pengimportan alat ganti dan komponen terpakai dan pemansuhan sistem AP bagi kenderaan terpakai.

Mustapa berkata, bagi menyokong usaha meningkatkan daya saing pengeluar komponen dan alat ganti dana Pembangunan Automotif (ADF) dan Dana Penyelarasan Industri (IAF) akan diteruskan.

Selain itu, kerajaan turut menekankan usaha meningkatkan standard keselamatan termasuk pembangunan sepenuhnya kelulusan kenderaan (VTA) serta pengenalan dan penguatkuasaan mandatori secara berperingkat ke atas komponen dan alat ganti.

-UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Ada pendapat? Sila tinggalkan komen anda.
Gunakan bahasa yang sopan.
Terima kasih.

Followers

Shoutbox


ShoutMix chat widget