Terkini Dan Sensasi

Koleksi Berita Semasa Dan Info Menarik

‘Ustaz psiko’ buat hal lagi

AMPANG: Tak serik-serik. Biarpun pernah ditahan atas kesalahan menipu orang ramai yang mendaftar mengerjakan umrah tahun lalu, seorang lelaki yang digelar ‘ustaz psiko’ sekali lagi buat hal apabila dikesan menipu wang jemaah masjid dengan mengadakan program motivasi dan ceramah.

Malah, lelaki itu yang bakal dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam awal bulan depan berhubung kes penipuan terbabit aktif menipu jemaah masjid sejak tiga bulan lalu.

Lelaki ‘alim kucing’ itu kali ini memperdayakan orang ramai dengan bergerak menggunakan syarikat yang konon ditubuhkannya sendiri, namun tembelangnya pecah apabila hasil pemeriksaan ahli jemaah mendapati syarikat terbabit langsung tidak wujud.

Masih dengan taktik menjaja diri sebagai imam atau ustaz berperwatakan warak, lelaki berusia 27 tahun itu menganjurkan ceramah di sekitar masjid dan surau dengan mengenakan bayaran tertentu walaupun dia sebenarnya langsung tidak layak memberikan ceramah berkaitan agama kerana tidak berkelayakan.

Menurut sumber yang juga mewakili ahli jemaah masjid di daerah ini, mereka mula mengesyaki lelaki terbabit menipu apabila setiap kali mengadakan ceramah atau motivasi, dia hanya mengutarakan isu yang sama dan akan mengelak jika disuruh menyampaikan tajuk lain berkaitan agama.

“Kami mulai pelik dengan sikap lelaki itu kerana setiap kali ceramah dia hanya memainkan isu murtad, sosial serta isu halal dan haram.

“Jika diminta menyampaikan ceramah lain yang berkaitan agama, dia pasti akan mengelak dan kami akhirnya sepakat untuk menyiasat latar belakang lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, mereka terkejut apabila mengetahui lelaki terbabit sebenarnya penipu dan pernah ditahan sebelum ini selain turut dibuang kerja kerana mempunyai masalah disiplin.

“Selain itu, setiap kali selesai berceramah, lelaki itu akan meminta kami menyumbangkan wang dalam bekas yang disediakannya kononnya untuk membantu dia yang mendakwa membuka pusat tahfiz di Banting.

“Dia mendakwa membuka pusat tahfiz terbabit secara percuma tanpa mengenakan bayaran dan meminta kami memberikan sumbangan secara ikhlas dengan tujuan membantu pelajar di pusat itu,” katanya.

Menurut sumber itu, bagaimanapun dakwaan lelaki terbabit tidak benar apabila seorang jemaah wanita yang kebetulan tinggal di kawasan itu bertanyakan alamat penuh pusat berkenaan.

“Ketika ditanya lokasi pusat tahfiz itu, lelaki terbabit gagal memberikan alamat dan meminta nombor telefon kepada jemaah wanita yang bertanyakan kepadanya.

“Dia memberitahu akan menghantar SMS memberitahu alamat pusat tahfiz berkenaan kepada jemaah wanita itu, namun akhirnya dia hanya berdiam diri membuatkan mereka semua mula mengesyaki ditipu lelaki berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, seorang daripada jemaah kemudian membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, semalam selepas mereka gagal mengesan lelaki berkenaan yang menghilangkan diri secara tiba-tiba sejak beberapa minggu lalu.







Muka depan Harian Metro Ogos tahun lalu pernah melaporkan kes lelaki berkenaan yang ditahan polis selepas dia menipu beberapa jemaah yang mahu mengerjakan umrah.

Dia ketika itu mengambil deposit wang daripada jemaah terbabit dengan menggunakan nama sebuah agensi di mana dia sebenarnya sudah dibuang oleh syarikat berkenaan kerana mempunyai masalah disiplin.

Ketika itu, lelaki berkenaan menipu orang ramai dengan mendakwa dia pernah menjadi Imam Masjid Alice Spring di Australia selain mengimamkan solat tarawih yang disertai Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, suspek pernah ditahan atas kesalahan berkhalwat oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dua tahun lalu dan dia ketika itu sanggup mendakwa pernah menjadi imam besar Masjid Bangsar semata-mata untuk melepaskan diri.

-HARIAN METRO

0 comments:

Post a Comment

Ada pendapat? Sila tinggalkan komen anda.
Gunakan bahasa yang sopan.
Terima kasih.

Followers

Shoutbox


ShoutMix chat widget