Terkini Dan Sensasi

Koleksi Berita Semasa Dan Info Menarik

Pesalah seks ganas terlepas hukuman sebat

KUANTAN: Seorang mekanik terlepas daripada hukuman tiga sebatan selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengenepikan hukuman itu yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen ke atasnya kerana melakukan seks ganas dan persetubuhan luar tabii dengan isterinya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya, yang membenarkan rayuannya, turut mengurangkan hukuman penjara ke atas Khairulhisam Abdul Khalid, 35, daripada 10 tahun kepada enam tahun.

Pada 5 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan selepas Khairulhisam menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan mengadakan seks ganas dan melakukan seks luar tabii tanpa kerelaan isterinya.



Ketika mula-mula dihadapkan ke mahkamah pada 24 April lalu, lelaki itu mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan untuk mengadakan persetubuhan dengan isterinya kira-kira 3.15 petang pada 19 April lalu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan, dipenjara lima tahun.

Bagi kesalahan melakukan seks luar tabii tanpa kerelaan isterinya berusia 32 tahun itu kira-kira jam 3.20 petang tarikh yang sama, lelaki terbabit yang dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dipenjara 10 tahun dan tiga sebatan.

Hassan, bagaimanapun, memerintahkan kedua-dua hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh hukuman.

Tertuduh melalui peguamnya, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini pada 17 September lalu.

Dalam rayuannya, peguambela perayu berhujah Hakim Mahkamah Sesyen tersilap dari segi fakta dan undang-undang apabila gagal mempertimbangkan pengakuan salah perayu selain tidak membezakan kesalahan yang dilakukan itu ada kaitan dengan rumahtangga perayu berbanding kesalahan dalam kes-kes lain membabitkan kaum sejenis atau mangsa yang tidak dikenali. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Ada pendapat? Sila tinggalkan komen anda.
Gunakan bahasa yang sopan.
Terima kasih.

Followers

Shoutbox


ShoutMix chat widget