Terkini Dan Sensasi

Koleksi Berita Semasa Dan Info Menarik

Malaysia, Singapura kaji projek ekonomi ikon di Iskandar Malaysia

SINGAPURA: Singapura dan Malaysia hari ini membentuk satu kumpulan kerja baru untuk mengkaji pembangunan bersama projek ekonomi ikon di Iskandar Malaysia.

Penubuhan kumpulan kerja baru ini dipersetujui selepas mesyuarat kerja Jawatankuasa Menteri Bersama Kelima (JMC) untuk Iskandar Malaysia yang dimuktamadkan di sini hari ini.

Ini dinyatakan menerusi kenyataan bersama oleh Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan Kementerian Pembangunan Negara Singapura.


Mesyuarat itu adalah susulan daripada perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong, semasa Najib melawat Singapura pada Mei lalu.

Dalam pertemuan yang berlangsung pada bulan berkenaan, kedua-dua pemimpin telah mencetuskan projek dua hala di Iskandar Malaysia di mana ia akan menyaksikan komitmen kedua-dua negara membina hubungan yang kukuh dan produktif.

JMC turut menilai semula perkembangan yang dibuat setakat ini oleh Kumpulan Kerja Bersama ke atas imigresen, pengangkutan, pelancongan dan persekitaran.

Kajian juga telah dimulakan untuk menilai kemungkinan tapak bagi pembangunan pelancongan bersama yang berpotensi untuk meningkatkan aliran pelancong ke dalam dan antara Iskandar Malaysia dan Singapura, kata kenyataan itu.

Tapak kajian ialah Sungai Pulai, Tanjung Piai dan Pulau Kukup, secara kolektifnya dikenali sebagai tapak-tapak Ramsar di Iskandar Malaysia dan Sungei Buloh Wetland Reserve di Singapura.

Mengenai isu imigresen, kenyataan itu memaklumkan yang perintis kepada Sistem Penjelasan Automasi Malaysia yang membolehkan pengembara ke Iskandar Malaysia akses ke laluan "pantas" telah diperluaskan kepada semua pengembara ke Malaysia bulan lalu.

Kedua-dua negara juga bersetuju untuk menggandakan perkhidmatan bas sempadan bersilang menjelang Januari tahun depan.

JMC akan mengadakan pertemuan sekali lagi pada separuh pertama 2010 bagi menyemak perkembangan Kumpulan Kerja Bersama. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Ada pendapat? Sila tinggalkan komen anda.
Gunakan bahasa yang sopan.
Terima kasih.

Followers

Shoutbox


ShoutMix chat widget