Terkini Dan Sensasi

Koleksi Berita Semasa Dan Info Menarik

Putus tunang RM1j


SHAH ALAM: Sudahlah mahligai diimpikan musnah, merpati dua sejoli yang pernah diikat dengan tali pertunangan kini terjebak pula pertikaian bagi mendapatkan semula barangan pemberian ketika bertunang bernilai hampir RM1 juta.

Seorang pengarah urusan sebuah syarikat komunikasi dan teknologi maklumat, Mohamad Fahizul Khairi, 53, memfailkan tuntutan ganti rugi terhadap bekas tunangnya, seorang pegawai bank, Nor Daliya Mohd Daud, 34, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Fahizul mendakwa mengalami kerugian dari segi harta benda apabila pertunangannya dengan Nor Daliya putus pada 21 April tahun lalu.

Mereka bertunang pada awal April 2007 sebaik wanita berkenaan tamat tempoh edah perceraiannya dengan suami pertama dan majlis pertunangan diadakan pada 6 Disember 2007 di Pekan, Pahang.

Nor Daliya bercerai dengan suaminya pada 9 Januari 2007 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Selepas bertunang, Mohamad Fahizul mendakwa Nor Daliya memintanya menyediakan sebuah rumah sebagai tempat tinggal mereka apabila berumah tangga kelak selain meminta dia menceraikan isterinya.

Mohamad Fahizul mendakwa dia akur permintaan itu dan membeli rumah teres dua setengah tingkat di Bandar Utama, Petaling Jaya dan disebabkan desakan Nor Daliya, dia menceraikan isterinya pada 7 April 2008, tetapi mereka rujuk kembali dalam tempoh edah.

Lelaki itu mendakwa terpaksa membuat bayaran termasuk kos pengubahsuaian, membeli barangan rumah, kos ejen hartanah dan wang deposit bagi membeli kereta Honda Civic kepada defendan berjumlah RM871,186.57.

Mohamad Fahizul mendakwa, sepanjang tempoh pertunangan itu, berlaku perselisihan faham dan pergaduhan dengan Nor Daliya kerana mengesyaki tunangnya curang.

Selepas memutuskan pertunangan, kedua-dua pihak berbincang dan mencapai persetujuan bahawa Nor Daliya akan memulangkan segala pemberian termasuk rumah teres dua setengah tingkat atas namanya berharga RM770,000.

Mohamad Fahizul mendakwa, bagi pembiayaan rumah dia mengeluarkan RM570,000 manakala NpR Daliya membuat pinjaman bank RM200,000 bagi melunaskan bakinya.

Menurutnya, pada 19 Mac lalu, Nor Daliya menghantar e-mel melalui peguam kepadanya dan memberitahu dia sudah mendapat pembeli rumah berkenaan.

Berikutan itu, Mohamad Fahizul berkata, dia khuatir bekas tunangnya itu mengambil hasil jualan rumah berkenaan tanpa merujuk kepadanya.

Dalam prosiding itu, Hakim Mohammad Adib Husain menetapkan 1 Februari tahun depan untuk keputusan bantahan awal yang difailkan Nor Daliya berhubung tuntutan itu.

Beliau menetapkan tarikh itu untuk memberi peluang kepada peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Nor Daliya bagi memfailkan hujahan balas terhadap bantahan awal berkenaan.

Pada prosiding berkenaan, bekas suami Nor Daliya, Herman Syah Abdul Rahim turut hadir untuk menemani Mohamad Fahizul.

Defendan diwakili peguam Mohamad Isa Abd Ralip.

Sementara itu, Azmi ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu pihaknya memfailkan permohonan itu pada 7 Mei lalu, manakala defendan membuat bantahan awal pada 8 Julai.

Menurutnya, dalam bantahan awal itu, defendan mendakwa pemberian itu tidak termasuk dalam tempoh pertunangan, tetapi sebagai hadiah ketika plaintif memikatnya.

-METRO

0 comments:

Post a Comment

Ada pendapat? Sila tinggalkan komen anda.
Gunakan bahasa yang sopan.
Terima kasih.

Followers

Shoutbox


ShoutMix chat widget