Terkini Dan Sensasi

Koleksi Berita Semasa Dan Info Menarik

Wanita tendang perut penyamun

TELUK INTAN: Tindakan pantas seorang wanita menendang kaki serta perut seorang penyamun bersenjata pisau bukan saja mengelaknya daripada risiko kecederaan, malah aksi beraninya itu menyebabkan suspek dicekup dan dibelasah orang ramai sebelum ditahan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin, seorang wanita berusia 40-an yang enggan dikenali cuba disamun seorang lelaki bersenjata pisau sebaik keluar dari sebuah bank di Jalan Syed Abu Bakar di sini.

Pada mulanya, suspek berusia 30 tahun itu mengekori mangsa sehingga ke tempat letak kereta sebelum mendakap mangsa dari belakang dan mengarah mangsa masuk dalam kereta.

Mangsa yang pada mulanya panik, bertindak berani menendang suspek sebelum menjerit meminta tolong.

Tindakan mangsa menjerit sekuat-kuat hati menyebabkan orang ramai dan pelanggan dalam bank keluar dan menyebabkan suspek cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, suspek ditahan sebelum diserahkan kepada seorang anggota polis berpakaian biasa yang lalu di kawasan itu.

Aksi cemas itu bukan saja mengejutkan orang ramai di Jalan Syed Abu Bakar, malah memberi amaran kepada mereka supaya berhati-hati terutama selepas keluar dari bank.

Suspek yang juga seorang penagih dadah dibawa ke Balai Polis Teluk Intan untuk siasatan sebelum direman untuk siasatan lanjut.

Kira-kira sebulan lalu, kejadian hampir sama berlaku di depan sebuah bank di Jalan Pasar apabila dua suspek menerpa seorang wanita yang baru hendak menaiki keretanya selepas berurusan di bank berkenaan sebelum diarah masuk dalam kereta.

Suspek menculik mangsa dan merompak wang RM400 dan melarikan kereta mangsa sebelum ditinggalkan keseorangan di Jalan Tembaga kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

-METRO

0 comments:

Post a Comment

Ada pendapat? Sila tinggalkan komen anda.
Gunakan bahasa yang sopan.
Terima kasih.

Followers

Shoutbox


ShoutMix chat widget