Terkini Dan Sensasi

Koleksi Berita Semasa Dan Info Menarik

Romeo terperangkap


AMPANG: Tindak tanduk tidak ubah seperti ‘romeo terlampau’ apabila seorang lelaki yang gagal memikat gadis idaman sanggup bertindak ganas cuba mencabul dan menculik mangsa hanya kerana tidak memberikan nombor telefon bimbit, malam kelmarin.

Lelaki berusia 20-an berkenaan yang tampil dengan lagak macho didakwa bertindak ganas apabila cuba mengheret dan menarik mangsa masuk ke dalam keretanya menyebabkan mangsa menjerit ketakutan.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa yang berusia 14 tahun sedang berjalan bersendirian berhampiran hadapan Sekolah Bandar Baru Ampang, di sini.

Mangsa ingin ke rumah rakannya tidak jauh dari lokasi kejadian untuk mengambil alat pengecas bateri telefon bimbit.

“Bagaimanapun, setibanya di kawasan tempat menunggu bas, mangsa singgah di pondok telefon awam untuk menghubungi rakannya itu.

“Pada masa sama, suspek yang menaiki kereta Kelisa berhenti tidak jauh dari tempat mangsa berdiri. Suspek kemudian keluar dari kenderaan sebelum mendekati mangsa dari belakang,” katanya.

Menurutnya, suspek tanpa segan silu menyatakan hasrat untuk berkenalan dengan mangsa yang ketika itu masih bercakap di pondok telefon awam berkenaan.

“Suspek yang seolah-olah tidak berputus asa memujuk mangsa berulang kali supaya memberikan nombor telefon bimbit kepadanya.

“Mangsa yang ketakutan enggan melayan permintaan itu sebelum beredar dari pondok telefon,” katanya.

Menurutnya, suspek terus mendesak mangsa menyerahkan nombor telefon bimbit walaupun mangsa mendiamkan diri dan tidak memandang ke arah suspek.

“Mungkin kerana geram dan tidak berpuas hati kerana cubaan memikat mangsa tidak dilayan, suspek mula bertindak ganas menarik tangan mangsa menyebabkan mangsa menjerit ketakutan.

“Suspek cuba mengheret mangsa ke keretanya dipercayai untuk menculik dan mencabul mangsa. Difahamkan suspek yang menarik baju mangsa turut mengugut mangsa supaya tidak melawan, namun mangsa terus menjerit meminta tolong,” katanya.

Menurutnya, jeritan mangsa itu menarik perhatian orang ramai yang kebetulan tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum cuba membantu.

“Menyedari orang ramai mula mendekati lokasi, suspek terus melepaskan mangsa sebelum melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan di lokasi kejadian

“Bagaimanapun, orang ramai yang menyedari kereta Kelisa terbabit milik suspek memasang perangkap dengan menunggu semula kemunculan suspek untuk mengambil keretanya itu,” katanya.

Menurutnya, jangkaan orang ramai tepat apabila suspek muncul beberapa jam kemudian untuk mengambil semula keretanya itu sebelum dia diberkas penduduk.

“Orang ramai segera memaklumkan kejadian itu kepada polis daerah Ampang sebelum suspek dan keretanya itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, yang ditemui wartawan semalam mengesahkan kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut berikutan polis masih menyoal siasat suspek yang bekerja sebagai jurujual berkenaan.

-METRO

0 comments:

Post a Comment

Ada pendapat? Sila tinggalkan komen anda.
Gunakan bahasa yang sopan.
Terima kasih.

Followers

Shoutbox


ShoutMix chat widget