Terkini Dan Sensasi

Koleksi Berita Semasa Dan Info Menarik

2 gadis dilayan macam hamba

KUALA LUMPUR: Dua gadis warga Vietnam mengalami detik hitam dalam hidup mereka apabila dipaksa menjadi hamba seks sindiket pelacuran selepas memasuki negara ini sejak dua bulan lalu.

Dua gadis berkenaan dilayan tidak ubah seperti hamba apabila dikurung ahli sindiket di sebuah rumah dan dikawal sepanjang masa.

Bagaimanapun, dua gadis berusia awal 20-an itu berjaya diselamatkan selepas sepasukan anggota polis Bukit Aman yang menerima maklumat badan bukan kerajaan (NGO) menyerbu rumah menempatkan gadis terbabit di Taman Perindustrian Kepong, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 11.45 malam itu, dua gadis berkenaan yang dijadikan ‘modal’ oleh sindiket pelacuran terbabit diselamatkan sebelum dibawa ke Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata, hasil serbuan itu, polis turut memberkas dua lelaki berusia 40-an dipercayai anggota sindiket pelacuran tempatan yang bekerjasama dengan sindiket pelacuran antarabangsa.

Menurutnya, kejayaan menyelamatkan dua gadis terbabit hasil maklumat disalurkan NGO yang membantu polis memerangi aktiviti penyeludupan manusia ke negara ini.

“Berdasarkan maklumat itu, polis secara tidak langsung melumpuhkan aktiviti penyeludupan gadis dari Vietnam yang dijadikan pelacur.

“Siasatan awal mendapati dua gadis berkenaan dihantar ke lokasi tertentu di sekitar Lembah Klang oleh sindiket terbabit dengan kadar bayaran ratusan ringgit bagi setiap kali perkhidmatan.

“Kedua-dua gadis itu yang memasuki negara ini secara sah sejak beberapa bulan lalu dikurung dalam rumah berkenaan selepas selesai melayan pelanggan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penutup Bengkel Mengenai Laporan Penyeludupan Manusia, semalam.

Menurutnya, polis percaya mangsa diperdaya sindiket yang menjanjikan pekerjaan dengan gaji lumayan di negara ini, namun mereka sebaliknya dijadikan pelacur.

Katanya, polis masih menyiasat sama ada suspek mempunyai hubungan dengan sindiket lain dan usaha memburu saki baki penjenayah dan dalang sindiket berkenaan diteruskan.

“Ini kejayaan terbaru polis selepas melakukan 110 operasi membanteras kes penyeludupan manusia sepanjang tahun ini. Polis amat serius mengenai hal ini.

“Walaupun pelbagai usaha dilakukan, namun kegiatan penyeludupan manusia ke negara ini masih berterusan atas beberapa faktor termasuk tarikan pekerjaan selain ekonomi negara ini yang berkembang maju,” katanya.

Menurutnya, langkah membanteras penyeludupan manusia itu digiatkan lagi selepas Amerika Syarikat (AS) menerusi Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2009’ oleh Jabatan Negara AS dikeluarkan Jun lalu menyenarai hitam negara ini kerana gagal mematuhi sepenuhnya piawaian minimum menghapuskan aktiviti itu serta tidak menunjukkan usaha bersungguh-sungguh menanganinya.

“Pihak berkuasa di negara ini terutamanya PDRM sudah mengambil langkah sewajarnya untuk membersihkan Malaysia daripada dikaitkan dengan pemerdagangan orang.

“Kita turut serius menangani kegiatan sindiket yang menjadikan Malaysia sebagai transit oleh pendatang asing terutama dari negara dunia ketiga untuk menyeludup masuk ke negara maju seperti Australia dan Eropah,” katanya.

Selain daripada pengamal media, bengkel dua hari terbabit turut dihadiri oleh profesional berkaitan termasuk Atase Akhbar Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur, Tina Melone; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya dan Koordinator Tenaganita, Aegile Fernandez.

-METRO

0 comments:

Post a Comment

Ada pendapat? Sila tinggalkan komen anda.
Gunakan bahasa yang sopan.
Terima kasih.

Followers

Shoutbox


ShoutMix chat widget